Pengedar kena tahan ketika mahu tunai umrah

Serbuan polis berjaya rampas 700,000 pil kuda bernilai RM10.5 juta

Berita Harian - - Nasional - Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim [email protected]

Kota Bharu: Seorang lelaki yang dipercayai ketua sindiket pengedaran pil kuda di Kelantan, ditahan di Lapangan Terbang Antarabang­sa Kuala Lumpur (KLIA), ketika mahu berangkat ke Makkah menunaikan umrah, Khamis lalu.

Suspek berusia 37 tahun ditahan jam 2 petang susulan serbuan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di Jalan Lubok Kiat - Kubang Kuau, Pasir Mas jam 12 tengah hari pada hari sama, yang merampas 700,000 pil kuda bernilai RM10.5 juta, selain menahan tiga lelaki.

Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd, berkata serbuan dilakukan menerusi Ops Toucan hasil risikan yang dijalankan pihaknya sejak April lalu.

Katanya, ketika serbuan terhadap sebuah kereta pada jam 12 tengah hari di Pasir Mas, sindiket berkenaan baru sahaja memperoleh bekalan dadah dari Thailand untuk diedar kepada pelanggan.

“Susulan penahanan tiga lelaki terbabit, kita menahan ketua sindiket di KLIA sebelum menahan seorang lagi ahli sindiket iaitu wanita berusia 48 tahun di sebuah rumah di Jalan Yaakubiah.

“Hasil operasi berkenaan, kita menahan lima suspek termasuk seorang wanita berusia 19 hingga 53 tahun.

“Kita turut merampas sebanyak 700,000 biji pil kuda, selain merampas wang tunai, barang kemas serta kereta dengan nilai keseluruha­n sebanyak RM10.9 juta,” katanya pada sidang media, di IPK Kelantan, semalam.

Yang turut hadir, Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan.

Mohd Khalil berkata, siasatan pihaknya mendapati, sindiket berkenaan dipercayai bergiat aktif sejak lebih setahun lalu.

“Suspek wanita adalah pengurup wang tanpa lesen yang berperanan menguruska­n aliran wang sindiket berkenaan.

“Modus operandi digunakan sindiket berkenaan adalah dengan mendapatka­n bekalan dari Thailand sebelum dijual secara pukal dan runcit,” katanya sambil menambah semua suspek direman seminggu dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam sidang media sama, Mohd Khalil berkata, 88 pengedar ditahan dan pelbagai jenis dadah bernilai RM189,000 dirampas dalam Ops Damn Tokan yang dijalankan di Kelantan dan Pahang sejak Sabtu lalu hingga kelmarin.

Operasi yang dilakukan dengan kerjasama Bukit Aman, IPK Kelantan dan Pahang itu turut merampas harta bernilai RM372,000.

Selain dadah, sepucuk pistol Sig Sauer bersama 88 butir peluru 9mm turut dirampas hasil serbuan berkenaan.

Mohd Khalil berkata, di Kelantan pihaknya menjalanka­n 33 serbuan dan menahan 46 pengedar dadah termasuk empat perempuan berusia 19 hingga 53 tahun.

Katanya, hasil penahanan semua suspek berkenaan, polis merampas pelbagai jenis dadah termasuk syabu dan heroin bernilai RM74,000.

“Di Pahang pula, kita menjalanka­n 21 operasi yang membawa kepada penahanan 42 individu termasuk tiga perempuan berusia 21 hingga 49 tahun.

“Pada masa sama kita merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM115,000,” katanya sambil menambah semua suspek kini direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah dan siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

(Foto Fathil Asri/bh)

Mohd Khalil (dua dari kiri) menunjukka­n dadah yang dirampas pada sidang media, di IPK Kelantan, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.