Pelabur Asia rugi Financial.org tutup

Berita Harian - - Bisnes -

Financial.org, firma kewangan United Kingdom, menutup operasinya berdasarka­n kenyataan di laman webnya, sekali gus menyebabka­n akaun pelabur firma itu dibekukan.

“Kami sudah menghentik­an operasi,” kata notis di laman web Financial.org yang bermula pada awal September.

Memetik laporan agensi berita REUTERS, pihaknya tidak dapat menghubung­i Financial.org, malah laman webnya tidak lagi mengandung­i butiran maklumat untuk dihubungi.

Pengawal selia kewangan Britain, Financial Conduct Authority juga enggan mengulas mengenai notis penutupan firma itu.

Financial.org sebelum ini menyatakan ia adalah platform pendidikan dengan 200,000 ahli dan tidak mengendali­kan sebarang pelaburan, transaksi atau dana.

Pengawal selia kewangan di Britain, Indonesia, Laos, Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand dan Emiriah Arab Bersatu sudah meletakkan syarikat itu dalam senarai peringatan firma pelaburan yang tidak diperakui dan pelabur harus berhati-hati.

Syarikat itu secara unilateral menukar akaun dolar pelabur ke dalam mata wang kripto FOIN sendiri pada Jun tahun lalu dan menyekat mereka daripada menarik balik pelaburan.

Empat pelabur dari Indonesia, Iran, Jepun dan Malaysia ketika dihubungi melalui melalui aplikasi perbualan Whatsapp atau Facebook Messenger, berkata mereka sudah mencuba tetapi tidak berjaya menarik balik mata wang kripto FOIN masing-masing bulan lalu selepas dialihkan dari laman web Financial.org ke laman web lain yang memerlukan log masuk untuk mengakses.

Mereka berkata, sudah menerima notis pada akaun dalam talian mereka, memberitah­u bahawa mereka tidak dapat mengakses syiling digital sehingga November.

Financial.org dilancarka­n pada September 2016 dengan rakan kongsi di Singapura, mengikut video yang dipaparkan dalam talian.

Firma itu pernah menjadi penaja pasukan Formula One, Williams, menguruska­n ratusan ribu dolar untuk pelabur Asia walaupun pengawal selia mengatakan ia tidak dilesenkan untuk membabitka­n diri dalam perkhidmat­an kewangan.

Jurucakap pasukan Williams berkata, perjanjian penajaan denganlogo Financial.org dan FOIN muncul di atas kenderaann­ya tamat pada akhir 2018 dan tidak diperbahar­ui.

Kakitangan ibu pejabat Financial.org di daerah kewangan Canary Wharf, London berkata firma itu berpindah dari tingkat 26 bangunan itu pada akhir tahun lalu, selepas menyewa ruang berkenaan selama dua tahun.

Kakitangan pejabat Financial.org di Abu Dhabi juga berkata firma berkenaan telah berpindah.

REUTERS

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.