Jack Ma lepas jawatan di Alibaba

Daniel Zhang bakal terajui empayar e-perniagaan gergasi dunia

Berita Harian - - Bisnes -

Hong Kong: Jack Ma melepaskan jawatannya dalam Alibaba Group Holding Ltd selepas menerajui satu daripada syarikat yang menghasilk­an kekayaan luar biasa yang pernah dilihat oleh dunia.

Bekas guru bahasa Inggeris itu melepaskan jawatan sebagai pengerusi eksekutif syarikat terbesar China pada hari jadinya ke-55 selepas mengumpul kekayaan bernilai AS$41.8 bilion, rekod individu paling kaya di Asia yang hanya diatasi oleh hartawan dari India, Mukesh Ambani, menurut Indeks Hartawan Bloomberg.

Pencapaian hebatnya itu bermula dari usahanya bekerja di pangsapuri­nya pada tahun 1999 untuk menubuhkan empayar e-perniagaan yang seperti mencermink­an evolusi China dari negara yang mundur teknologi kepada ekonomi kedua terbesar dunia ketika ini.

Sepanjang dua dekad, Ma dan pengasas bersamanya membina perniagaan syarikat itu sehingga menjadi gergasi bernilai AS$460 bilion yang berjaya mengatasi Ebay Inc dan Amazon.com Inc.

Syarikatny­a itu juga mengendali­kan satu daripada dunia perniagaan pengkomput­eran awan terbesar dan menjalanka­n rangkaian logistik yang menghantar berjuta bungkusan setiap hari.

Kini ahli perniagaan yang paling dikenali di negaranya itu, menyerahka­n jawatan itu kepada Daniel Zhang, peralihan penting bagi syarikat terbesar di Asia.

Ma menjadi individu terkaya di Asia pada 2016, mengambil alih takhta Pengerusi Dalian Wanda Group, Wang Jianlin. Gelaran itu kini disandang Pengerusi Reliance Industries Ltd, Ambani, yang bernilai AS$47.4 bilion, menurut kedudukan 500 individu terkaya dunia Bloomberg.

Pengasas bersama Alibaba itu menjadi wajah kepada perniagaan China biarpun sewaktu menjadi ahli Parti Komunis, pemerintah negara itu.

Ma yang pernah ditolak permohonan­nya untuk bekerja dengan KFC, kini memiliki 5.3 peratus kepentinga­n Alibaba bernilai AS$24.6 bilion, atau kira-kira 10 kali ganda daripada 7.4 peratus kepentinga­n miliknya bernilai AS$2.6 bilion pada 2012.

Sejak mengambila­lih peranan sebagai pengerusi eksekutif pada 2013, pendapatan Alibaba melonjak kira-kira 1,100 peratus kepada 378.8 billion yuan (AS$56.2 billion) pada tahun berakhir Mac 2019.

Jumlah kekayaanny­a tidak termasuk dengan kepentinga­n dalam syarikat yang dimiliki oleh yayasannya atau nilai saham yang dijual sepanjang tempoh itu.

BLOOMBERG

Jack Ma

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.