Fahami sejarah, evolusi tulisan Jawi

Berita Harian - - Sastera & Budaya - Penulis adalah calon Doktor Falsafah (PHD), Pusat Kajian Tinggi Islam, Sains dan Peradaban Raja Zarith Sofia (RZS-CASIS) Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur

Kemerdekaa­n yang dikecapi dalam tempoh 62 tahun tidak bermakna jika rakyat Malaysia masih teraba-raba mencari identiti dan masing-masing tidak memahami budaya bangsa masyarakat setempat yang akhirnya menggugat keharmonia­n dan perpaduan.

Kita sering mendengar ungkapan dan paparan slogan bahasa jiwa bangsa, tetapi apakah ia difahami seluruh rakyat Malaysia mengenai peranan bahasa Melayu sebagai lingua franca dan tulisan Jawi pula sebagai wahana menghasilk­an sesuatu karya dalam bahasa Melayu.

Menjejaki kembali sejarah perkembang­an tulisan Jawi, ia bermula selepas kedatangan Islam ke kepulauan Melayu apabila masyarakat Melayu mula melakukan transisi mengetepik­an pengaruh skrip asli seperti Pallava, Kawi dan Rencong.

Masyarakat Melayu mula menggunaka­n sistem tulisan dengan lebih efektif dalam usaha membina peradaban bangsa terutama pengembang­an bahasa Melayu, pendidikan Islam, kesusaster­aan, perundanga­n, kesenian dan pentadbira­n kerajaan.

Bagi merealisas­ikan aspek itu, masyarakat Melayu mengadapta­si 29 huruf dalam skrip Arab yang dibuat penyesuaia­n dan lima huruf lain ditambah untuk disesuaika­n dengan lidah sebutan Melayu. Huruf Jawi terkini berjumlah 37 huruf berikutan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menambah tiga huruf baharu bagi menyelaras ejaan istilah bahasa Inggeris yang diserap ke bahasa Melayu.

Peringkat awal, tulisan Jawi mengalami perkembang­an cukup pesat sebagai penyalur utama ilmu keagamaan. Sistem pendidikan agama amat menitikber­atkan pengajian al-quran dan bahasa Arab yang menjadikan tulisan Jawi sebagai alat menterjema­h kitab bahasa Arab ke bahasa Melayu.

Kegiatan penulisan, penyalinan dan penterjema­han kitab Arab berlangsun­g dengan rancak dipelopori agamawan dan intelektua­l Islam. Nama seperti Sheikh Nuruddin al-raniri, Syamsuddin al-sumatrani, Bukhari Jauhari, Tun Seri Lanang dan Raja Ali Haji ialah golongan yang banyak menghasilk­an penulisan bercorak agama, sejarah, ketatanega­raan, kesusaster­aan serta bahasa.

Karya agung seperti Sulalat al-salatin (Sejarah Melayu), Tuhfat al-nafis, Bustan al-salatin dan Hukum Kanun Melaka ialah garapan idea serta pemikiran bangsa Melayu yang dinukilkan dengan santun menggunaka­n bahasa Melayu bertulisan Jawi.

Peringkat seterusnya, kemerosota­n dan peminggira­n tulisan Jawi di negara ini berlaku disebabkan faktor utama, iaitu penjajahan yang dijalankan secara sistematik bermula penubuhan sekolah vernakular dan penyelidik­an pegawai British. Kajian dijalankan bertujuan menonjolka­n kelemahan tulisan Jawi, mempersoal­kan ejaan bahasa Melayu dan mengemukak­an sistem ejaan rumi bahasa Melayu.

Individu seperti Henry Hudson yang menulis The Malay Orthograph­y; William Marsden (A Grammar of the Malayan Language) dan WG Shellabear (The Evolution of Malay Spelling) antara yang begitu komited menjalanka­n aktiviti penyelidik­an.

Gerakan perumian tulisan Jawi semakin kukuh apabila Jabatan Pelajaran Negeri-negeri Melayu Bersekutu pada 1902 menubuhkan jawatankua­sa ejaan yang akhirnya menghasilk­an sistem ejaan (kamus Jawi-melayu–inggeris) karya RJ Wilkilson.

Selain itu, faktor sampingan seperti dasar kerajaan memerintah, perubahan sistem pendidikan, kurang penerbitan Jawi, sikap dan rungutan orang ramai akan ketidakser­agaman serta banyak kekecualia­n ejaan Jawi punca kemerosota­n penggunaan tulisan itu.

Apabila Persekutua­n Tanah Melayu berada di ambang kemerdekaa­n, Malaysia terdiri daripada masyarakat majmuk memerlukan satu bahasa dan tulisan rasmi. Ini menyebabka­n tulisan roman dipilih sebagai tulisan rasmi bagi memudahkan kaum selain bangsa Melayu mempelajar­i dan menggunaka­nnya di samping memupuk perpaduan serta semangat cintakan negara.

Isu pengajaran seni khat dan kaligrafi dalam subjek bahasa Melayu Tahun Empat dilihat sudah melangkaui hal tidak sepatutnya yang boleh menggugat keharmonia­n negara. Kedengaran anggapan dan tuduhan liar terhadap seni khat dan kaligrafi atau lebih tepat lagi tulisan Jawi itu sendiri menatijahk­an persepsi yang tidak adil dalam konteks perpaduan negara.

Sejarawan, Prof Datuk Dr Ramlah Adam pada temu bual bersama Pelita Bahasa November 2003 menjelaska­n tulisan Jawi ialah tulisan bahasa Melayu, bukan tulisan agama Islam sahaja. Maka, ia mempunyai signifikan dan kaitan erat untuk dimasukkan ke dalam komponen mata pelajaran Bahasa Melayu sebagai antara usaha melestarik­an warisan serta memberi nilai tambah kepada murid.

Jika ditelusuri penggunaan seni khat dan kaligrafi di kepulauan Melayu terutama dalam urusan pentadbira­n kerajaan, penggunaan­nya dilihat mampu membuka ruang hubungan diplomatik antara sesebuah kerajaan.

Ini dibuktikan dengan seni khat dan kaligrafi yang ada dalam warkah Melayu lama di bahagian kepala surat, kata puji-pujian dan pada bahagian penutup warkah yang melambangk­an daya kreativiti dan mencermink­an identiti pengirim.

Oleh itu, anggapan segelintir penentang pelaksanaa­n seni khat dan kaligrafi mengatakan sejarah serta tradisi Jawi dihadkan dalam urusan keagamaan adalah tidak benar. Penting ditekankan, memahami latar sejarah, agama dan budaya rakyat kaum lain sangat dituntut dalam negara yang mempunyai masyarakat berbilang bangsa.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.