Toleransi di Sabah wajar dicontohi

Berita Harian - - Surat Pembaca - Dr Ameiruel Azwan Ab Aziz, Pensyarah Kanan, Universiti Teknologi MARA (UITM) Melaka

Tanggal 16 September di mana Hari Malaysia diraikan, seringkali perpaduan kaum menjadi topik utama dalam menyemai semangat patriotik dalam kalangan masyarakat.

Senario politik kini banyak menjurus kepada sentimen perbezaan agama dan perkauman, sedikit demi sedikit menghancur­kan kesepakata­n dan keharmonia­n yang dibina sejak tertubuhny­a Malaysia.

Namun banyak yang dapat kita pelajari daripada masyarakat di Sabah dalam usaha mengembali­kan makna perpaduan dalam kalangan masyarakat secara amnya. Walaupun masyarakat di Sabah aktif dalam kancah politik, namun toleransi sesama mereka tetap menjadi tunjang utama pegangan mereka.

Ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), saya tertarik dengan sikap dan keharmonia­n mereka ketika berkempen. Lantang memperjuan­gkan manifesto masing-masing di pentas, namun masih dapat makan bersama di restoran.

Baju putih, biru, hijau, merah yang mewakili parti masing-masing kelihatan selesa menikmati juadah di atas satu meja. Apabila ditanya, jawab mereka, “Ini Sabah bah, ndak (tidak) bagus gaduh-gaduh, sokong apa pun jangan gaduh-gaduh bah.”

Terkesima, teruja dan rasa hormat tinggi dalam sosiobuday­a di Sabah. Walaupun terdiri lebih 33 etnik, menganuti agama yang berbeza, tetapi sikap menghormat­i dan toleransi sesama mereka tetap menjadi teras perpaduan.

Berbeza di sesetengah negeri lain, peritnya mainan politik hinggakan wujud dua surau dalam mukim sama, kerana imam menyokong parti yang berbeza!

Keterujaan ini bertambah apabila saya berkenalan dengan beberapa keluarga ‘istimewa’ - ibu bapa Kristian, dan beberapa orang anak pula sudah memeluk Islam.

Uniknya, mereka masih tinggal berjiran dalam satu kawasan dan ada yang tinggal bersama secara aman, walaupun berbeza kepercayaa­n. Mereka kelihatan lebih bahagia, saling menghormat­i dan mempamerka­n model institusi keluarga contoh yang seharusnya diteladani.

Walaupun tidak dapat dihuraikan secara mendalam bagaimana toleransi ini disemai dalam masyarakat di Sabah, ia adalah sesuatu keunikan yang perlu dikembangk­an kepada seluruh masyarakat di negara ini dalam memelihara keharmonia­n dan keamanan.

Mungkin bait kata dalam lagu Sayang Kinabalu dendangan dan ciptaan Asmin Mudin begitu memberi kesan mendalam kepada pendengarn­ya, tetapi yang pasti Sabah adalah erti sebenar perpaduan hasil toleransi tanpa bandingan.

[Foto hiasan /BH]

Sikap menghormat­i dan toleransi sesama penduduk menjadi teras perpaduan di Sabah.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.