17,000 penumpang terkandas

Jalan raya, landasan kereta api ke lapangan terbang Narita terjejas

Berita Harian - - Dunia -

Tokyo: Kira-kira 17,000 penumpang terkandas di Lapangan Terbang Antarabang­sa Narita, susulan Taufan Faxai yang melanda ibu negara Jepun.

Ribut itu mengakibat­kan lebih 1,000 penerbanga­n terpaksa dibatalkan manakala jalan raya dan landasan kereta api yang menuju lapangan terbang turut terjejas, membuatkan ramai penumpang tidak memiliki sebarang pilihan pengangkut­an untuk ke bandar.

Jurucakap lapangan terbang, Kei Miyahara, berkata sejumlah 16,900 penumpang terkandas di lapangan terbang itu sehingga tengah malam tadi.

“Penumpang sudah mula beransur pulang ke kediaman atau destinasi masing-masing kerana operasi bas dan kereta api kembali berfungsi seperti biasa,” katanya awal pagi semalam.

Lapangan Terbang Antarabang­sa Narita di Chiba, timur Tokyo terletak dalam jaluran Taufan Faxai, yang membawa bersama angin kencang sehingga 207 kilometer sejam.

Kereta api antara bandar melalui bandar metropolit­an Tokyo tidak dibuka sehingga jam 8 pagi semalam, sementara menunggu pegawai bertugas memeriksa kerosakan yang berlaku.

Ia menyebabka­n keributan luar biasa pada waktu puncak, kelmarin ketika orang ramai berpusu-pusu menuju ke pejabat.

Bencana itu berlaku ketika Jepun sedang bersiap sedia menjadi tuan rumah Kejohanan Ragbi Piala Dunia akhir bulan ini, di samping Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Faxai juga menyebabka­n jadual beberapa pasukan untuk acara Ragbi Piala Dunia berkenaan mengalami ‘gangguan’ apabila pasukan Australia terlewat tiba manakala delegasi England terkandas di lapangan terbang.

“Keadaan itu menyebabka­n mereka hanya membuang masa sambil bermain kriket”, kata jurucakap Ragbi Piala Dunia. AFP

(Foto AFP)

Penumpang sesak di lapangan terbang Narita selepas perkhidmat­an kereta api dan pengangkut­an lain dihentikan susulan gangguan ribut Faxai, kelmarin.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.