Ratusan sekolah ditutup, kualiti udara merosot

Ribuan anggota bomba dikerah padam api di Sumatera, Borneo

Berita Harian - - Dunia -

Jakarta: Ratusan sekolah di seluruh Asia Tenggara terpaksa ditutup susulan jerebu akibat kebakaran besar di sebahagian besar kawasan hutan hujan Indonesia, kata pegawai semalam.

Kawasan hutan di Sumatera dan Borneo terbakar ketika ribuan anggota bomba berusaha mengekang api, yang kerap dimulakan untuk membersihk­an ladang untuk proses tanaman.

Situasi diganggu jerebu turut dialami rakyat di Singapura manakala penduduk di selatan Thailand dinasihatk­an memakai topeng, minggu ini.

Pembakaran hutan untuk membuka jalan bagi perladanga­n juga dikatakan menjadi dalang kebakaran besar yang kini berlaku di Amazon di Amerika Selatan, dan pakar percaya ia memberi impak serius kepada iklim global.

Di Indonesia, beberapa tompok panas, kawasan berisiko terbakar, merebak ke beberapa bahagian lain, termasuk di Borneo yang dikongsi negara itu dengan Brunei dan Malaysia.

Kualiti udara merosot ke paras tidak sihat di sekitar Kuala Lumpur, menurut indeks pencemaran udara kerajaan dan langit diselubung­i kabut tebal, manakala jerebu turut melanda Singapura.

Bau daun terbakar memenuhi udara dan penduduk menderita masalah pernafasan dan mengadu gatal dan sakit mata.

Sekitar 400 sekolah ditutup, semalam di sembilan daerah di Sarawak, dengan lebih 150,000 pelajar terjejas, menurut jabatan pendidikan tempatan.

Di wilayah Jambi di Sumatera, beberapa tadika ditutup sehingga, Jumaat ini manakala sekolah rendah dan sekolah menengah rendah juga ditutup sementara, menurut pihak berkuasa tempatan, tetapi tidak memberikan jumlah sebenar.

Datuk Bandar Jambi, Syarif Fasha, menggesa penduduk memakai topeng muka manakala agensi pengurusan bencana Malaysia berkata ia akan menghantar setengah juta topeng kepada jawatankua­sa bencana negeri Sarawak.

Pihak berkuasa Indonesia mengerah ratusan kakitangan tambahan sejak bulan lalu untuk mengelakka­n kebakaran pada 2015, yang paling buruk dalam masa dua dekad, menyebabka­n rantau itu dilanda jerebu beberapa minggu dan mencetuska­n perbalahan diplomatik.

Susulan tekanan negara jiran, Presiden Joko ‘Jokowi’ Widodo, bulan lalu memberi amaran akan memecat pegawai jika gagal menangani kebakaran hutan.

Bilangan tompok panas dengan potensi sederhana hingga tinggi untuk terbakar meningkat hampir tujuh kali ganda kepada 6,312 dalam masa empat hari bulan ini, menurut agensi bencana kebangsaan Indonesia. AFP

Kawasan hutan hujan di Sumatera dan Borneo dilaporkan mengalami kebakaran besar.

Jerebu di Pekanbaru , Riau yang dirakamkan, kelmarin.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.