Set Peperiksaa­n Percubaan

Pengurusan secara profesiona­l jana untung elak petani terus miskin: PM

Berita Harian - - Muka Depan - Oleh M Hifzuddin Ikhsan, Siti Nur Mas Erah Amran dan Noorazura Abdul Rahman [email protected]

Alor Setar: Pesawah kecil perlu mencantumk­an tanah milik mereka bagi dijadikan ladang padi berskala besar yang diurus secara profesiona­l dan menjana keuntungan, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, sekiranya usaha itu tidak dilakukan, pesawah kecil akan terus menjadi antara rakyat termiskin di negara ini yang bergantung kepada subsidi dalam penanaman sawah.

Katanya, sawah yang berkeluasa­n antara dua ke tiga hektar tidak mampu memberi keuntungan kepada pesawah sama seperti kebun sawit atau getah yang diusahakan secara kecil-kecilan.

“Disebabkan itu kita kena cantumkan sawah menjadi ladang besar berkeluasa­n antara 1,000 ke 2,000 hektar dan diurus individu yang pakar seperti dalam industri sawit dan getah yang diusahakan syarikat perladanga­n.

“Ladang padi ini kemudian guna cara tanaman, alatan dan jentera moden serta baja yang terbaik bagi membolehka­n hasil padi meningkat sehingga pesawah mendapat untung,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Padi Kebangsaan 2019 di sini, semalam.

Yang hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub.

Dr Mahathir berkata, petani boleh menambahka­n lagi pendapatan sepanjang tahun apabila sawah berskala besar diusaha dengan tanaman lain seperti sayur, durian, nanas atau ternakan seperti itik.

Beliau berkata, kerajaan ada menerima pandangan daripada salah seorang bekas peneraju syarikat perladanga­n negara yang boleh menjadi rangka untuk melaksanak­an program perladanga­n padi berskala besar.

Katanya, Pengerusi FELDA, Tan Sri Mohd Bakke Salleh yang berpengala­man mencantumk­an tanah sawit ketika beliau berkhidmat di syarikat perladanga­n Sime Darby sebelum ini, membentang­kan cadangan berhubung percantuma­n tanah yang boleh diguna dalam penanaman padi secara besar-besaran.

“Dia (Mohd Bakke) biasa dengan pengurusan ladang sawit dan getah selain pernah menulis kertas kerja berkenaan cara mencantumk­an tanah supaya jadi lebih besar tetapi tidak terhad kepada padi sahaja,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, perubahan yang dicadangka­n ini adalah radikal dan mungkin sukar dilaksana pesawah tradisiona­l, namun ia perlu dibuat bagi menjamin masa hadapan mereka.

“Jika cara ini (ladang padi) diterima, saya yakin pesawah tidak lagi miskin kerana negara mengimport sayur-sayuran bernilai RM60 bilion setahun, sedangkan pesawah juga boleh tanam sayur tanpa menggunaka­n tanah yang luas.

“Pesawah yang masih bertenaga juga boleh bekerja di ladang padi dan menerima upah tanpa kehilangan hak mereka dan mendapat keuntungan mengikut keluasan tanah yang dicantumka­n,” katanya.

Menyentuh mengenai keluasan sawah yang semakin mengecil di negara ini, beliau berkata, ia tidak dapat dielak kerana manusia juga memerlukan tempat tinggal dan tanah terpaksa diambil untuk tujuan itu.

“Alor Setar dahulu dikeliling­i sawah, tetapi kini sudah banyak rumah dan kita tidak dapat elak ia daripada berlaku.

“Apa yang penting bukan keluasan sawah, tetapi keupayaan pesawah mengeluark­an hasil yang lebih tinggi melalui penggunaan teknologi moden seperti di negara luar,” katanya.

(Foto BERNAMA)

Dr Mahathir melihat anak benih padi yang menggunaka­n teknologi ‘Bayer Seedgrowth’ ketika melawat tapak pameran sempena majlis perasmian Konvensyen Padi Kebangsaan 2019 di Alor Setar, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.