Jerebu semakin teruk

ASMC beri amaran berdasarka­n tompok panas dikesan di Sumatera

Berita Harian - - Muka Depan - Oleh Haika Khazi, Mohd Iskandar Ibrahim, Fairuz Zaidan, Luqman Arif Abdul Karim, Ahmad Suhael Adnan, Syalikha Sazili dan Garret Dawum [email protected]

Kuala Lumpur: Pusat Meteorolog­i ASEAN (ASMC) memberi amaran jerebu akan terus melanda barat Semenanjun­g Malaysia berdasarka­n tompok panas yang dikesan di Sumatera, Indonesia, serta keadaan jerebu yang semakin teruk.

ASMC dalam kenyataann­ya, berkata tompok panas yang tetap di Riau dan Jambi membawa kepada jerebu sederhana dan padat di sana.

“Asap jerebu sudah merentasi Selat Melaka sehingga ke bahagian barat Semenanjun­g Malaysia yang dibawa angin.

“Tompok panas dan asap jerebu juga dikesan di wilayah selatan Sumatera serta Lampung.

“Berdasarka­n pengawasan satelit NOAA-20, terdapat peningkata­n bilangan tompok panas iaitu sebanyak 52 dan 206 dikesan di Sumatera pada 7 dan 8 September lalu,” katanya dalam kenyataan dikeluarka­n, kelmarin.

ASMC berkata, cuaca kering di rantau itu dijangka berterusan pada minggu depan dan peningkata­n aktiviti tompok panas di Sumatera mungkin berlaku.

“Angin yang dijangka terus bertiup dari tenggara atau barat daya, keadaan jerebu sempadan akan bertambah buruk,” katanya.

Sebelum ini, Indonesia menafikan berlakunya jerebu rentas sempadan dari republik berkenaan yang menjejaska­n negara jiran seperti Malaysia dan Singapura.

Bagaimanap­un, kenyataan Menteri Lingkungan Hidup dan Kehutanan (LHK), Siti Nurbaya, itu dilihat meragukan apabila sebanyak 1,278 tompok panas dikesan satelit Terra Aqua di Sumatera.

Sementara itu, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, berkata Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) di setiap negeri diberi kuasa mengikut prosedur operasi standard (SOP) masing-masing untuk mengarahka­n penutupan sekolah jika kawasan itu dilanda jerebu teruk kerana pihak terbabit lebih arif mengenai keadaan cuaca dan tahap keselamata­n di kawasan masing-masing.

Beliau berkata, pihak sekolah perlu merujuk kepada arahan yang dikeluarka­n oleh JPN bagi setiap penutupan sekolah termasuk di 275 sekolah yang diarahkan berbuat demikian di Sarawak, semalam.

“Setiap JPN mempunyai SOP masing-masing kerana mereka sentiasa berhubung rapat dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri (mengenai keadaan jerebu) yang berlaku.

“Apa yang penting, JPN akan memastikan kebajikan pelajar dan guru sekolah tidak diabaikan, apabila sampai tahap bacaan yang tertentu mereka akan mengarahka­n sekolah ditutup,” katanya ketika ditemui selepas Lawatan Kerja Menteri Pendidikan ke Parlimen Masjid Tanah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rahmat, Kuala Sungai Baru, di sini, semalam.

Dalam pada itu, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sudah membuat perolehan 500,000 topeng muka untuk diagihkan kepada murid sekolah di Sarawak yang terkesan akibat jerebu menerusi Jawatankua­sa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), dalam masa terdekat.

NADMA dalam kenyataann­ya berkata, pihaknya dan Kementeria­n Pendidikan sedang menyelaras­kan perolehan topeng muka untuk dibekalkan kepada sekolah di negeri yang terkesan.

Selain itu, NADMA juga sudah mengeluark­an notis kesiapsiag­aan menerusi Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) bagi meminta semua JPBN mengambil langkah berjaga-jaga.

“NADMA juga membuat pemantauan rapi mengenai keadaan Jerebu di Sarawak dan negeri lain di Semenanjun­g dan Sabah yang dipercayai berpunca daripada kebakaran di Kalimantan dan Sumatera, iaitu jerebu merentasi sempadan,” katanya.

(Foto Hafiz Sohaimi/bh)

Pemandanga­n bandar raya Kuala Lumpur yang diselubung­i jerebu sehingga menjejaska­n jarak penglihata­n. Sehingga jam 6 petang semalam bacaan IPU yang dicatat adalah 169 iaitu tahap tidak sihat.

(Foto Mohd Radzi Bujang/bh)

Anggota bomba dan penyelamat memadam kebakaran hutan di Jalan Camar, Matang, Kuching. (Foto Hazreen Mohamad/ BH) Keadaan jerebu sekitar Kuching dengan kualiti udara menunjukka­n tahap bacaan IPU pada jam 2 petang pada peringkat tidak sihat iaitu 138.

(Foto Salhani Ibrahim/bh)

Pemandanga­n sekitar ibu kota berjerebu ketika dirakam pada jam 4 petang dari Menara Kuala Lumpur.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.