Berita Harian

PPM mohon dana khas baiki 12 kem pengakap

Kerosakan dialami kini dinilai untuk dapat anggaran kos baik pulih

- Oleh Amin Ridzuan Ishak aminridzua­n@bh.com.my

Kuala Lumpur: Persekutua­n Pengakap Malaysia (PPM) akan memohon peruntukan khas daripada kerajaan, bagi membaiki 12 kem pasukan itu di seluruh negara yang kini terbiar.

Pemangku Ketua Pengakap Negara, Datuk Dr Md Sirat Abu, berkata pada masa ini pihaknya masih melakukan penilaian terhadap kerosakan yang dialami bagi mengetahui anggaran kos untuk melaksanak­an kerja-kerja pembaikan semua kem berkenaan.

“Mungkin kos agak tinggi bergantung kerosakan pada komponenny­a seperti dewan, pondok atau surau. Kalau tiada kemampuan dari segi kewangan, pilihan pertama kita adalah memohon dana daripada kerajaan bagi melaksanak­an kerja pembaikan.

“Pilihan kedua adalah menjalinka­n kerjasama dengan syarikat swasta yang mungkin boleh diberikan kebenaran untuk membangunk­an sebahagian tanah dengan aktiviti bersesuaia­n bagi mendapatka­n semula modal dikeluarka­nnya.

“Namun, pilihan utama kita adalah mendapatka­n dana kerajaan dahulu kerana kita mahu memastikan aset pengakap kekal dalam pegangan,” katanya ketika ditemui BH di sini, semalam.

BH Ahad pada Julai lalu mendedahka­n, sekurang-kurangnya 12 kem utama pengakap di seluruh negara yang pernah menjadi tumpuan ahlinya, menjalanka­n aktiviti perkhemaha­n dan keraian secara berkala kini terbiar usang dan dipenuhi semak-samun.

Gambaran keindahan sesetengah kem pengakap seperti dikongsika­n dalam laman web rasmi PPM selama ini, pada hakikatnya sekadar ‘indah khabar daripada rupa,’ apabila tinjauan di lokasi mendapati ia sebenarnya terbiar hingga pasukan itu sendiri tidak lagi menganjurk­an program di situ.

Malah, pasukan beruniform lain yang berhasrat menyewa kemudahan tapak perkhemaha­n PPM terbabit juga membatalka­n hasrat mereka, apabila melihat wajah sebenar kem pasukan itu.

Mengulas lanjut, Md Sirat berkata, pembaikan kem-kem itu bukan sahaja akan memberi keselesaan kepada ahlinya untuk menjalanka­n aktiviti pengakap namun menjana pendapatan kepada PPM bagi jangka panjang.

“Kalau kita ada kem yang baik dan selesa, sudah tentu ada pasukan serta badan beruniform lain berminat untuk menyewanya bagi menjalanka­n aktivitiny­a.

“Ini akan memberi pulangan kepada PPM untuk digunakan bagi kebajikan dan pengurusan­nya,” katanya.

Dalam perkembang­an berasingan, Timbalan Menteri Industri Utama, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, disebut-sebut antara calon dicadangka­n sebagai Ketua Pengakap Negara yang baharu susulan kematian penyandang­nya, Allahyarha­m Tan Sri Mohd Shafie Salleh pada Rabu lalu.

Difahamkan nama Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu sudah diserahkan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang bakal membuat keputusan sebelum diangkat kepada Majlis Raja-raja untuk pentauliah­an seperti terkandung dalam prosedur Persekutua­n Pengakap Malaysia (PPM).

Selain itu, individu lain turut dicadangka­n adalah Md Sirat sendiri yang memangku jawatan berkenaan serta bekas Timbalan Yang Dipertua Majlis Pengakap Negara, Datuk Dr Aziz Jamaludin Mhd Tahir.

Bagaimanap­un, Shamsul Iskandar dikatakan menjadi calon pilihan berikutan statusnya sebagai Ahli Parlimen yang memudahkan usaha membawa isu-isu berkaitan pengakap di Dewan Rakyat sekiranya perlu memandangk­an PPM dikuatkuas­akan mengikut Akta Persekutua­n Pengakap Malaysia 1968.

Selain berstatus Ahli Parlimen, Shamsul Iskandar dilihat layak menduduki jawatan itu atas pelbagai faktor termasuk menjadi Pengerusi Majlis Pengakap Melaka dan pernah menerima Anugerah Pengakap Raja yang memerlukan penerimany­a mendapatka­n lencana-lencana tertentu serta melalui pelbagai proses sebelum layak menerimany­a.

 ?? (Foto Aswadi Alias/bh) ?? Md Sirat ketika hadir di Ibu Pejabat Persekutua­n Pengakap Malaysia, kelmarin.
(Foto Aswadi Alias/bh) Md Sirat ketika hadir di Ibu Pejabat Persekutua­n Pengakap Malaysia, kelmarin.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia