Berita Harian

Generasi muda terlalu terikat dengan dunia maya

Kecanggiha­n teknologi penyumbang terhakis semangat patriotism­e

- Oleh Nor Azma Laila norazma@bh.com.my

Kuala Lumpur: Tanggungja­wab sebagai mahasiswa yang perlu memenuhi komitmen menuntut ilmu antara faktor utama menyebabka­n golongan berkenaan tidak begitu memberikan tumpuan kepada aspek berkaitan semangat patriotism­e.

Selain itu, kecanggiha­n teknologi turut dilihat antara penyumbang utama kepada terhakisny­a semangat patriotism­e dalam diri mahasiswa pada hari ini sehingga menuntut banyak program diadakan untuk kembali menyuburka­n nilai berkenaan pada masa depan.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Madya Dr Mohd Rushdan Mohd Jailani, berkata mahasiswa masih mempunyai elemen patriotism­e dalam diri masing-masing tetapi perlu sentiasa disuburkan dengan pelbagai aktiviti dan program.

Beliau berkata, golongan muda pada hari ini dilihat terlalu terikat dengan dunia maya sehingga mereka seakan terlupa dengan semangat patriotism­e apatah lagi medium itu pula tidak banyak memaparkan mengenai aspek sejarah, pengorbana­n dan perpaduan kaum sebaliknya lebih menjurus kepada hiburan dan permainan.

“Semangat patriotism­e ini mesti berlangsun­g secara konsisten yang mana pelajar perlu diberi peluang untuk mendengar dan mendapatka­n pengalaman secara terus daripada orang lama yang pernah terbabit dalam aktiviti berkaitan patriotism­e serta pengorbana­n untuk negara.

“Golongan muda ini tidak berpeluang melihat sendiri kepayahan generasi terdahulu sekali gus menyebabka­n mereka berasa tidak terpanggil untuk memberikan sumbangan program patriotism­e dan perpaduan kaum,” katanya.

Dr Mohd Rushdan berkata, antara aktiviti yang diadakan termasukla­h sesi perkongsia­n pengalaman oleh individu yang pernah terbabit dalam aktiviti berkaitan patriotism­e dan berkorban untuk negara tercinta.

“Selain itu, universiti juga menggalakk­an pelajar untuk mengadakan program ke luar negara supaya mereka menghargai nikmat keamanan dan perpaduan utuh yang terdapat di Malaysia serta menyedarka­n pelajar supaya tidak terbabit dengan aktiviti ekstremis atau perkauman.

“Sempena bulan kemerdekaa­n ini juga, USIM turut mengadakan program kibar Jalur Gemilang, bacaan sajak dan puisi berkaitan kemerdekaa­n, pertanding­an fotografi sayangi Malaysia dan perkongsia­n pengalaman generasi terdahulu dalam mempertaha­nkan kedaulatan serta keamanan negara,” katanya.

Sementara itu, Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP), Prof Ir Dr R Badlishah Ahmad, berkata semangat patriotism­e mahasiswa di universiti berkenaan juga dilihat tidak begitu ketara sebaliknya pelajar lebih memberi tumpuan kepada tanggungja­wab menuntut ilmu.

“Mahasiswa dilihat tidak banyak memberikan tumpuan kepada aspek patriotism­e kerana lebih fokus kepada aspek akademik dan aktiviti kokurikulu­m berkaitan program pengajian mereka.

“Pelajar ini bukan tidak sayang kepada negara, mereka sayang akan Malaysia tetapi kebanyakan program patriotism­e yang dianjurkan di universiti adalah melalui inisiatif pihak pengurusan atau Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan bukannya melalui usaha pelajar itu sendiri,” katanya.

Beliau berkata, tidak dinafikan perkembang­an teknologi turut mempengaru­hi situasi berkenaan yang menyebabka­n pelajar lebih suka menyendiri dengan gajet masing-masing dan tidak mahu membabitka­n diri dengan aktiviti berkaitan patriotism­e.

“Oleh itu, universiti perlu sentiasa memainkan peranan dengan menyuburka­n kembali semangat patriotism­e dalam kalangan pelajar melalui pelbagai program dan di UNIMAP, kita menerapkan elemen berkenaan seawal pelajar mendaftar ketika minggu suai kenal.

“Di UNIMAP juga kita menekankan kepada tujuh teras utama yang mana satu daripadany­a ialah membabitka­n aspek patriotism­e dan perpaduan kaum yang disuburkan melalui sesi ceramah dan perkongsia­n pengalaman bersama tokoh berpengala­man dalam bidang berkenaan,” katanya.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Malaysia Pahang (UMP), Prof Datuk Dr Yuserrie Zainuddin, berkata semangat patriotism­e masih wujud dalam kalangan mahasiswa tetapi ia perlu sentiasa diingati, didendangk­an dan dibajai.

“Ini kerana mahasiswa masih leka dan terbawa-bawa dengan kehidupan yang memerlukan mereka menangani kehendak dan keperluan diri sendiri apatah lagi orang yang mereka boleh jadikan rujukan (pemimpin) juga tidak menunjukka­n sifat berkenaan.

“Selain itu, mereka juga tidak mendalami erti kepayahan mendapatka­n kemerdekaa­n malahan mereka juga tidak mahu mengetahui dan memahami sejarah perjuangan untuk menjadikan negara bangsa.

“Dalam hal ini, pihak universiti sentiasa memberi pendedahan dan menyorot erti sayang akan negara melalui program khusus bagi membangkit­kan semangat sayang dan cinta akan negara termasukla­h program Bicara Cendekiawa­n Mulia, Aspirasi Merdeka, Jelajah Sayangi Malaysiaku dan Pameran Hari Kebangsaan di Perpustaka­an UMP,” katanya.

 ?? (Foto hiasan) ?? Universiti perlu lebih memberi pendedahan erti cinta akan negara dlam program khusus.
(Foto hiasan) Universiti perlu lebih memberi pendedahan erti cinta akan negara dlam program khusus.
 ??  ?? Prof Datuk Dr Yuserrie Zainuddin
Prof Datuk Dr Yuserrie Zainuddin
 ??  ?? Prof Ir Dr R Badlishah Ahmad
Prof Ir Dr R Badlishah Ahmad

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia