Periksa jantung, kesihatan dapat sambutan
500 penduduk Baling manfaat program percuma anjuran Media Prima, IJN
Baling: Lebih 500 penduduk sekitar daerah ini menyerbu program Media Prima Medical Outreach yang diadakan di Dewan Kenangan Tun Abdul Razak di sini, semalam.
Seawal jam 9 pagi, orang ramai, termasuk 200 penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan orang kurang upaya (OKU), tidak melepaskan peluang menjalani pemeriksaan jantung dan kesihatan percuma dikendalikan kakitangan Institut Jantung Negara (IJN).
Pengurus Tanggung Jawab Sosial Korporat Media Prima Berhad (MPB), Muhammad Nazim Ismail, berkata program yang julung kali diadakan di daerah ini memberi peluang kepada masyarakat luar bandar memantau tahap kesihatan mereka.
“Selama ini, penduduk luar bandar mungkin berhadapan kekangan kewangan dan sukar membuat pemeriksaan jantung dan kesihatan, namun hari ini (semalam) kita memberikan semua perkhidmatan ini secara percuma.
“Ini antara inisiatif kita membantu penduduk mendapat perkhidmatan kesihatan terbaik dengan program ini yang kelapan dianjurkan Media Prima dan IJN sejak 2013,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Difahamkan selain penduduk Baling, ada antara pengunjung datang dari Sik, Kulim dan Kuala Muda bagi mendapatkan pemeriksaan kesihatan merangkumi ujian tekanan darah, tahap gula, Indeks Jisim Badan (BMI) dan kolesterol.
Penduduk, Noraini Mat Zain, 47, berkata selama ini dia terpaksa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani bagi membuat pemeriksaan jantung.
“Kebanyakan penduduk hanya bekerja sebagai penoreh atau petani menyebabkan kami agak sukar mendapatkan pemeriksaan kesihatan lengkap.
“Disebabkan itu, saya tidak melepaskan peluang mengetahui program hari ini (semalam), malah ada antara jiran keluar rumah seawal jam 8 pagi lagi untuk ke dewan,” katanya berasal dari Kampung Charok Bunting, Siong.
Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu turut disertai Briged Sukarelawan Media Prima-new Straits Times Press (NSTP) dan Adabi Consumer Industries (ADABI).
Kebanyakan penduduk bekerja sebagai penoreh atau petani menyebabkan kami agak sukar mendapatkan pemeriksaan kesihatan lengkap.
Noraini Mat Zain, Penduduk