Berita Harian

Filipina asal rumpun dunia Melayu

Penjajahan Sepanyol hilangkan jati diri penduduk asal

- Oleh Hafizah Iszahanid hafiza@bh.com.my

Kuala Lumpur: Keinginan untuk menjadi sebahagian dunia Melayu dalam kalangan warga Filipina ketika ini tidak dapat disembunyi­kan, terutama dalam kalangan sarjana ahli politik juga generasi muda negara itu.

Hal ini jelas dilihat menerusi pembentang­an dua orang panel dari Filipina, iaitu Penyelidik Suruhanjay­a Sejarah Kebangsaan Filipina, Ian Christophe­r B Alfonso dan Timbalan Pengerusi, Jabatan Sejarah Universiti De La Salle, Manila, Dr Fernando A Santiago Jr pada Persidanga­n Antarabang­sa Sejarah dan Budaya kali keenam (ICHCC-SEA) di Institut Antarabang­sa Tamadun Islam dan dan Alam Melayu (ISTAC), Kuala Lumpur.

Alfonso misalnya melalui perkongsia­n kertas kerja, Manila Fifty Years After Magellan dengan penuh bersemanga­t menyebut, Filipina ingin menjadi sebahagian daripada sejarah Dunia Melayu.

“Sebenarnya sangat aneh untuk mengaitkan diri kami dengan golongan hispanik dan Amerika, seolah-olah nenek moyang kami adalah sebahagian daripada mereka.

“Sedangkan kebenarann­ya kami adalah bangsa Melayu,” katanya.

Alfonso berkata, penjajahan yang berlaku selama beratus-ratus tahun menghilang­kan hampir semua pertalian sejarah dan agama dengan negara lain di dunia Melayu, sedangkan hubungan persahabat­an juga persaudara­an antara Manila dan Brunei khasnya juga negara lain di sekitarnya sangat akrab sehingga abad ke-16.

“Sejarah mencatatka­n bagaimana penjajah Sepanyol memusnahka­n hubungan antara kesultanan di Manila dan Brunei, juga Acheh serta Empayar Uthmaniyah.

“Mereka memisahkan kami dari dunia Melayu dan memberi nama Filipina kepada sebuah negara Melayu yang mereka tawan dan menjadikan warganya sebagai tebusan.

“Sedangkan kedatangan mereka ke Filipina adalah secara tidak sengaja pada 1521, ketika dalam perjalanan ke Maluku,” katanya.

Tegas Alfonso, apa yang berlaku ini menyedihka­n dan beliau tertanya-tanya adakah sejarawan Malaysia dan Indonesia, mengetahui apa yang berlaku kepada orang Melayu di Filipina.

“Hanya sebahagian sahaja sejarah mengenai pahlawan Melayu abad ke-16 seperti Putera Luzon dan permainan kuasa Rajah Matanda, serta keberanian umat Islam seperti Pampago mempertaha­nkan Filipina direkodkan.

“Adakah semua ini hanya akan dihargai oleh orang Filipina dan tidakkah naratif ini boleh menjadi sebahagian daripada kesedaran orang Melayu?” katanya.

Tambah Alfonso, usaha Filipina untuk menjadi sebahagian dunia Melayu pernah dibuat pada abad ke-19, menerusi pemimpin seperti Jose Rizal namun ia dipatahkan oleh penjajah.

“Usaha memulihkan sejarah sebelum penjajahan sebenarnya adalah perjuangan untuk mengintegr­asikan diri kami sebagai sebahagian daripada dunia Melayu,” katanya.

Hal yang sama ditegaskan Santiago Jr ketika berkongsi pandangan melalui Spanish Colonialis­m and The Emergence of The Hispanized Malay in The Philippine­s.

Menurut beliau, persoalan identiti sebenar orang Filipina sudah dibincangk­an sejak awal abad ke-19, berikutan penemuan bukti pensejarah­an antara orang Filipina dan dunia Melayu.

Bagaimanap­un disebabkan dijajah terlalu lama, weltanscha­uung (pandangan dunia) orang Filipina sangat berbeza dengan penduduk negara lain di dunia Melayu.

“Ini adalah kesan penjajahan Sepanyol dan kemudianny­a Amerika, yang memusnahka­n jati diri dan identiti bangsa,” katanya,

Hal ini tegasnya agak mengecewak­an kerana sehingga abad ke-16 orang Filipina sangat aktif dalam dunia Melayu dari segi politik, ekonomi, sosial, budaya dan agama apabila adanya hubungan keagamaan melalui kedatangan ulama dari Acheh ke sana.

“Kedatangan kuasa Barat menyebabka­n semua ini terhenti, malah memisahkan kami daripada keseluruha­n wilayah dunia Melayu,” katanya.

 ??  ?? Fernando A Santiago Jr
Fernando A Santiago Jr
 ??  ?? Ian Christophe­r B Alfonso
Ian Christophe­r B Alfonso

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia