Berita Harian

Orang ramai diminta tampil beri maklumat

-

Kuala Lumpur: Polis meminta orang ramai tampil memberi maklumat berhubung kes kematian anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Muhammad Adib Mohd Kassim.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner, Mior Faridalath­rash Wahid, berkata pihaknya kini memerlukan maklumat bagi mengesan suspek yang berkemungk­inan terbabit dalam kes itu.

“Kita meminta orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kes itu, tampil membantu polis mendapatka­n petunjuk baharu.

“Buat masa ini tidak ada lagi bukti tambahan dan siasatan sedang berjalan, namun belum ada lagi saksi baharu yang tampil atau dipanggil,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Mior Faridalath­rash berkata, siasatan kes itu tidak pernah ditutup dan pihaknya sedang menunggu arahan lanjut daripada pihak Peguam Negara, berhubung kes berkenaan yang kekal disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Kita akan cuba mengesan mereka yang terbabit seperti mana arahan Mahkamah Koroner untuk dibawa ke muka pengadilan.

“Semua saksi inkues sebelum ini sudah dipanggil memberi keterangan kepada polis, kita akan memanggil mereka semula jika perlu,” katanya

Jumaat lalu, Koroner Rofiah Mohamad memutuskan punca kematian Muhammad Adib, adalah akibat perbuatan jenayah oleh dua atau lebih individu yang tidak dikenali.

Muhammad Adib menghembus­kan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada 17 Disember tahun lalu, selepas 21 hari bertarung nyawa susulan kejadian rusuhan di hadapan kuil Sri Maha Mariammam, USJ 25, Subang Jaya.

Sementara itu, Mior Faridalath­rash, berkata polis akan rakam kenyataan Naib Ketua Puteri UMNO, Nurul Amal Mohd Fauzi, yang mendakwa lelaki mengamuk yang ditembak mati di sebuah kilang di Bayan Lepas, Pulau Pinang, minggu lalu, sebagai syahid.

Beliau berkata, pihaknya sudah menerima satu laporan polis daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, Syerleena Abdul Rashid, Sabtu lalu.

“Susulan laporan polis itu, kita memanggil Nurul Amal ke Bukit Aman, untuk memberi keterangan kepada pegawai yang menjalanka­n siasatan hari ini (semalam),” katanya.

Mior Faridalath­rash ketika dihubungi BH petang semalam, mengesahka­n Nurul Amal hadir ke Bukit Aman untuk dirakam keterangan­nya kira-kira jam 11 pagi dan proses itu selesai empat jam kemudian.

Beliau berkata, tiga individu yang ditahan pada 26 September lalu kerana dipercayai memuat naik kenyataan berbaur perkauman di media sosial, berhubung isu sama dibebaskan dengan jaminan polis semalam.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia