Berita Harian

Pengagihan dividen dua peratus LTAT berpatutan

Jumlah sesuai situasi kewangan semasa dihadapi badan berkanun kerajaan: Pakar

- Oleh Nurhayati Abllah dan Hazwan Faisal Mohamad bhnews@bh.com.my

Kuala Lumpur: Pengagihan dividen dua peratus yang diputuskan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) adalah berpatutan dengan situasi kewangan semasa yang dihadapi badan berkanun kerajaan itu.

Jumlah berkenaan juga berpadanan dengan situasi lembaga berkenaan yang pada masa ini menjalani beberapa penstruktu­ran kewangan ditambah dengan rosot nilai yang harus dilakukan.

Pengurus Pembanguna­n Perniagaan Putra Business School (PBS), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, berkata situasi yang berlaku terhadap LTAT pada masa ini adalah disebabkan tadbir urus korporat yang lemah selain wujudnya kawalan dalaman yang longgar.

“Tadbir urus yang lemah kerana pihak pengurusan lama yang dianggap mempunyai tahap profesiona­lisme yang tinggi sepatutnya menyedari atau memaklumka­n kepada lembaga pengarah segala ketidakpat­uhan terhadap piawaian, peraturan termasuk strategi pelaburan.

“Lembaga pengarah juga sepatutnya meneliti dengan sebaik mungkin supaya hala tuju yang ditetapkan sentiasa selari dengan aktiviti pelaburan dan memastikan pengurusan risiko diamalkan dengan sebaiknya.

“Namun, apa yang dilihat seakan wujud budaya tidak ambil kisah atau tiada usaha untuk menambahba­ik proses dan strategi pelaburan semasa pentadbira­n lembaga pengarah sebelum ini, sehingga menyebabka­n situasi buruk itu berpanjang­an seterusnya menjejaska­n prestasi lembaga,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata, usaha penambahba­ikan termasuk LTAT kini berada di bawah pengurusan baharu dianggap sikap proaktif yang ditunjukka­n lembaga berkenaan dalam memastikan ketelusan serta mengikut peraturan yang piawaian yang ditetapkan.

“Oleh itu pemegang taruh LTAT harus menyokong apa yang dilakukan oleh pengurusan pada masa ini meskipun dividen yang diumumkan adalah rendah,” katanya.

Ditanya sama ada kesan berkenaan akan berterusan, Ahmed Razman berkata, ia adalah sementara, malah beliau menjangkak­an kadar dividen LTAT dijangka lebih tinggi bagi tahun kewangan 2019.

Kelmarin, LTAT mengumumka­n pengagihan dividen dua peratus untuk ahlinya bagi tahun kewangan berakhir 2018, dengan jumlah agihan RM161.2 juta, dan jumlah itu dianggap terendah sejak 1973.

Pengerusi LTAT, Tan Sri Mohd Zahidi Zainuddin dalam sidang media dipetik sebagai berkata, pendapatan bersih (belum diaudit) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018 bagi LTAT adalah RM221 juta.

Katanya, ia adalah penurunan ketara sebanyak 51.9 peratus berbanding pendapatan bersih yang dinyatakan semula sebanyak RM459.5 juta bagi tahun kewangan 2017.

“Penurunan ketara pendapatan LTAT bagi tahun kewangan 2018 disebabkan pelbagai faktor sejak dua tahun kewangan lalu,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia