Berita Harian

UMNO, MCA masih main teka-teki

- Penulis adalah Penulis Khas Berita Harian

Jika mengikut tarikh penamaan calon pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai yang ditetapkan Suruhanjay­a Pilihan Raya (SPR) pada 2 November, parti atau individu yang berhasrat untuk bertanding mempunyai tempoh sebulan untuk membuat keputusan.

Buat masa ini, kelihatann­ya pembangkan­g masih kabur dengan keputusan untuk menentukan parti mana lebih layak bertanding pada PRK berkenaan. UMNO dan MCA masih berteka-teki siapa yang patut bertanding di Parlimen itu.

Semua pemimpin pusat UMNO dan MCA masih mengunci mulut masing-masing dan mengelak atau memilih jalan selamat apabila membuat kenyataan berhubung penentuan calon. Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong terus enggan mengulas soal calon. Malah, beliau turut mengarahka­n semua pemimpin MCA tidak memberi ulasan berhubung isu calon.

“Saya bimbang, apa yang keluar daripada mulut saya nanti diputar belitkan. Kita tunggu keputusan mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN),” katanya ringkas ketika dihubungi.

Namun, pada masa sama, MCA Bahagian Tanjung Piai menegaskan mereka lebih layak untuk bertanding di situ atas faktor sudah tiga penggal Parlimen Tanjung Piai menjadi kerusi tradisi yang ditandingi mereka.

Rekod menunjukka­n MCA menang selama tempoh itu sebelum kerusi itu dirampas Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu. UMNO pula dijangka hanya membuat kata putus sama ada akan bertanding atau tidak selepas Biro Politik dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti bermesyuar­at esok.

Walaupun begitu, UMNO Bahagian Tanjung Piai sudah berani mendesak kerusi Parlimen itu diberikan kepada parti berkenaan kerana yakin mampu memenangin­ya pada PRK akan datang. Ketua Bahagianny­a, Jefridin Atan berkata, sebanyak 88 ketua cawangan dalam bahagian itu meluluskan resolusi supaya calon UMNO dipilih bertanding dalam PRK itu dalam satu mesyuarat pada Sabtu lalu.

Secara tidak langsung, resolusi UMNO Bahagian Tanjung Piai itu tidak selari dengan prinsip dan aspirasi penyatuan ummah antara UMNO-PAS yang antara lain tidak akan meminggirk­an kaum bukan Melayu.

Namun, resolusi UMNO Bahagian Tanjung Piai mempunyai asasnya memandangk­an majoriti pengundi di Parlimen itu adalah orang Melayu yang merangkumi 56 peratus daripada 52,986 pengundi.

Setakat ini, BN Johor kelihatan senada dengan aspirasi penyatuan ummah apabila tidak menetapkan parti mana yang harus bertanding, sebaliknya hanya mahukan anak tempatan Tanjung Piai menjadi calon PRK Parlimen itu dan menolak cadangan meletakkan calon luar bertanding di kawasan itu.

Soalnya, siapakah calon anak tempatan yang layak untuk diketengah­kan pembangkan­g bagi berdepan dengan calon PH yang juga masih misteri ketika ini. Mungkinkah Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin calon anak tempatan yang dimahukan UMNO Bahagian Tanjung Piai.

MCA pula didakwa mahu menonjolka­n orang muda, Heng Zhi Li, 28, yang juga Ketua Pemuda MCA Tanjung Piai untuk menjadi calon, namun sehingga kini masih tiada kepastian. Melihat kepada sikap berhati-hati dan berdolak-dalih pembangkan­g dalam soal calon ketika ini, ia tidak ubah UMNO dan MCA sedang bermain kerusi panas.

Silap hari bulan, kedua-duanya tersungkur ketika cuba merebut kerusi itu. Namun realitinya, PRK kali ini adalah ujian besar kepada PH dan pembangkan­g. PRK itu akan menjadi penanda aras tahap sokongan pengundi terutama orang Melayu terhadap PH sebagai parti kerajaan dan BN yang kini menjadi pembangkan­g.

Jika pengundi masih memilih PH, bermakna rakyat masih menaruh keyakinan kepada kerajaan untuk melakukan pembaharua­n menerusi konsep Malaysia Baharu. Akan tetapi jika sebaliknya, ia menjadi isyarat kepada PH sesuatu perlu dilakukan untuk memastikan undi Melayu tetap memihak kepada mereka pada PRU-15.

Bagi pembangkan­g pula, PRK ini menguji keikhlasan kerjasama politik UMNO dan PAS dengan MCA sama ada memenuhi aspirasi penyatuan ummah atau tidak. Kejayaan pembangkan­g menguruska­n pertikaian soal calon akan dinilai pengundi Tanjung Piai khususnya dan rakyat secara amnya.

Walaupun keputusan PRK itu nanti tidak akan mengubah kedudukan Kerajaan Persekutua­n, namun parti yang memenangin­ya akan mendapat kemenangan moral yang signifikan untuk berdepan PRU-15 nanti.

Semua pemimpin pusat UMNO dan MCA masih mengunci mulut masingmasi­ng dan mengelak atau memilih jalan selamat apabila membuat kenyataan berhubung penentuan calon. Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong terus enggan mengulas soal calon.

 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia