Berita Harian

SPR nafi dakwaan sengaja susahkan pembangkan­g

-

Putrajaya: Suruhanjay­a Pilihan Raya (SPR) menafikan mempunyai niat tidak baik apabila memilih 16 November sebagai hari mengundi PRK Parlimen Tanjung Piai, yang dikatakan bertembung dengan Perhimpuna­n Agung UMNO.

Pengerusi SPR, Datuk Azhar Azizan Harun, berkata pihaknya tidak berniat menyusahka­n UMNO atau MCA, selain menolak dakwaan bersikap tidak adil dalam menetapkan tarikh PRK berkenaan.

Beliau berkata, SPR mempunyai 60 hari dari tarikh kekosongan untuk melaksanak­an PRK berkenaan mulai 24 September dan berakhir 23 November.

Katanya, cuti mingguan di Johor ialah Jumaat dan Sabtu, justeru PRK tidak wajar diadakan pada Jumaat kerana umat Islam menunaikan solat Jumaat manakala Ahad ialah hari bekerja di Johor.

“Cuma Sabtu boleh digunakan untuk PRK ini. Bermula hari ini, ada lapan Sabtu yang boleh diadakan PRK,” katanya kepada BH, semalam.

Jika diteliti tarikh setiap Sabtu berkenaan katanya, penamaan calon pada 5 Oktober dan mengundi 19 Oktober tidak sesuai berikutan Hari Keputeraan Sultan Johor pada 5 Oktober.

Katanya, penamaan calon pada 12 Oktober dan mengundi 26 Oktober juga tidak bersesuaia­n berikutan sambutan Deepavali pada 27 Oktober.

“Tarikh 19 Oktober sebagai hari penamaan calon dan 2 November untuk mengundi juga tidak sesuai kerana tempoh berkempen berada dalam tempoh cuti Deepavali.

“Malah, jika dipilih mengundi 2 November, tarikh mengundi awal pada 28 Oktober ialah sehari selepas cuti Deepavali. Justeru, tarikh yang tinggal cuma 2 November bagi penamaan calon dan hari mengundi pada 16 November.

“Itu tarikh paling sesuai selepas mengambil kira faktor cuti umum dan hujung minggu Johor ialah Jumaat dan Sabtu,” katanya.

Katanya, SPR tidak mahu mengadakan PRK pada Sabtu minggu berikutnya, iaitu 23 November kerana ia adalah hari terakhir dalam tempoh 60 hari.

“Ini bagi memberi margin tujuh hari jika berlaku apa-apa tidak terduga yang menyebabka­n PRK tidak dapat dijalankan pada 16 November,” katanya

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa, meluahkan rasa tidak puas hati terhadap tarikh PRK Parlimen Tanjung Piai yang ditetapkan SPR semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia