Berita Harian

MCA akur keputusan pimpinan BN

-

Johor Bahru: MCA Tanjung Piai akan akur dengan keputusan pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) dalam aspek pemilihan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, bulan depan.

Ketua MCA bahagian itu, Datuk Seri Wee Jeck Seng, yang juga bekas Ahli Parlimen kawasan berkenaan, menyedari wujud desakan beberapa pihak supaya kerusi itu diserahkan kepada UMNO tetapi menganggap­nya sebagai kebebasan bersuara.

“Semua orang ada hak membuat tuntutan, namun kita perlu faham prosedur operasi standard (SOP) yang diamalkan BN. BN mempunyai cara dan saluran membuat keputusan mengenai calon pilihan raya, termasuk PRK.

“BN akan membuat perbincang­an pada peringkat negeri dan pusat sebelum keputusan mengenai calon diumumkan pucuk pimpinan, maka kita tunggu keputusan itu dan kita akur,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Beliau mengulas mengenai laporan Ketua UMNO Bahagian Tanjung Piai, Jefridin Atan, yang mendesak kerusi Parlimen itu diserahkan kepada parti berkenaan kerana yakin mampu memenangin­ya pada PRK akan datang.

Jefridin dilaporkan berkata, 88 ketua cawangan dalam UMNO Bahagian Tanjung Piai meluluskan resolusi desakan berkenaan dalam mesyuarat Sabtu lalu.

PRK Parlimen Tanjung Piai diadakan 16 November ini susulan kematian penyandang­nya, Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 43, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang meninggal dunia di Hospital Pontian, Johor, pada 21 September lalu akibat komplikasi jantung.

Allahyarha­m yang juga Timbalan Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Tanjung Piai, memenangi kerusi Parlimen itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dengan majoriti 524 undi selepas menewaskan Jeck Seng (BN-MCA) dan Nordin Othman (PAS).

Sementara itu, Jeck Seng ketika ditanya mengenai sentimen ahli MCA di kawasan itu mengenai calon yang sesuai, enggan mengulas lanjut mengenainy­a dan mengulangi tetap akur dengan keputusan pucuk pimpinan BN.

BH difahamkan, wujud desakan daripada akar umbi MCA yang mahu parti itu meletakkan calon bertanding di kerusi berkenaan walaupun UMNO mula melobi mendapatka­n kembali kerusi berkenaan.

Ahli akar umbi MCA dikatakan mahu presiden parti bertegas dan tidak tunduk kepada desakan mana-mana pihak yang mahu mengambil kerusi berkenaan.

Keyakinan itu timbul berikutan kekalahan tipis Jeck Seng kepada Dr Md Farid dengan perbezaan 524 undi pada PRU-14.

Di Kuala Lumpur, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, enggan mengulas lanjut soal calon atau parti mana harus bertanding bagi mengelak spekulasi negatif yang boleh merosakkan nama BN.

“Apa juga keputusan soal calon, ia akan dibuat dalam mesyuarat Dewan Tertinggi BN mengikut prosedur biasa diamalkan dalam PRK sebelum ini,” katanya kepada BH, semalam.

Sementara itu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata parti akan membuat keputusan mengenai PRK Parlimen Tanjung Piai, Khamis ini.

Katanya, mesyuarat Biro Politik UMNO akan diadakan pada sebelah pagi, disusuli mesyuarat Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada sebelah petang.

“Saya difahamkan banyak isu politik akan dibincangk­an pada mesyuarat biro dan isu PRK serta calon dijangka dibincangk­an. Keputusan mesyuarat biro akan dibawa ke mesyuarat MKT.

“Presiden dijangka mengumumka­n perkara berkaitan mesyuarat itu, mungkin soal calon dan PRK di Tanjung Piai,” katanya.

 ??  ?? Wee Jeck Seng
Wee Jeck Seng

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia