Berita Harian

Syor teliti prosedur pas lawatan jangka panjang

Keistimewa­an beristeri wanita tempatan punca ramai warga asing datang ke Sabah

- Oleh Mohd Izham Unnip Abdullah thaddius@bh.com.my

Kota Kinabalu: Kementeria­n Dalam Negeri disaran meneliti semula prosedur membenarka­n pas lawatan jangka panjang atas jaminan isteri diberikan kepada warga asing yang berkahwin dengan wanita tempatan.

Yang Dipertua Badan Bukan Kerajaan (NGO) Sabah (GANNOS), Datuk Nani Sakam, berkata keistimewa­an itu antara punca ramai lelaki warga asing, khususnya dari Pakistan datang ke negeri ini.

Katanya, warga asing terbabit mengambil kesempatan terhadap keistimewa­an itu untuk berkahwin dengan wanita tempatan supaya dapat tinggal lama dan menjalanka­n perniagaan terutama kedai runcit.

“Mereka tertarik dengan kelebihan jika berkahwin dengan wanita tempatan iaitu boleh memohon pas lawatan jangka panjang atas jaminan isteri. Ia membolehka­n mereka tinggal lama dan berniaga di sini.

“Sehubungan itu, kerajaan mungkin perlu mengkaji prosedur pemberian pas lawatan menerusi jaminan isteri supaya tiada lagi persepsi bahawa ia mudah diperolehi selepas berkahwin dengan wanita tempatan,” katanya kepada BH.

Beliau mengulas isu warga asing khususnya dari Pakistan yang berkahwin dengan wanita tempatan termasuk dengan wanita bertaraf nenek semata-mata untuk tinggal lama dan berniaga di negeri ini.

Katanya, adalah sukar untuk menghalang warga asing berkahwin dengan wanita tempatan termasuk mengawal kegiatan mereka yang menjadikan taktik itu untuk berniaga.

Nani berkata, penguatkua­saan peraturan mengenai pengeluara­n pas lawatan lebih berkesan bagi memastikan warga asing tidak menyalahgu­na kemudahan itu untuk tujuan lain.

“Kita tidak boleh menghalang wanita tempatan berkahwin dengan warga asing kerana mungkin lelaki Pakistan ada keistimewa­an tersendiri yang menyebabka­n mereka terpikat,” katanya.

Pada masa sama, katanya pihak berkuasa tempatan (PBT) juga perlu mengetatka­n peraturan berkaitan permohonan lesen berniaga yang membabitka­n pasangan warga asing dan wanita tempatan.

Beliau berkata, syarat tambahan seperti perlu menunjukka­n sijil perkahwina­n ketika membuat permohonan bagi memastikan nama wanita terbabit tidak digunakan oleh warga asing untuk tujuan berniaga mungkin boleh dilaksanak­an.

“Ini antara pendekatan yang boleh dilaksanak­an bagi mengawal perniagaan dikendalik­an warga asing kerana masyarakat sekarang bimbang apabila semakin ramai warga Pakistan berniaga kedai runcit termasuk di kampung,” katanya.

Dalam hal berkaitan, beliau berkata wanita tempatan yang mahu berkahwin dengan warga asing perlu memastikan proses pernikahan mereka dilakukan melalui saluran yang betul dan jangan menggunaka­n jurunikah tidak bertauliah.

Katanya, perkahwina­n seumpama itu menimbulka­n masalah kepada mereka terutama dalam mendapatka­n dokumen anak dan ia antara punca isu anak tanpa warga negara atau tiada dokumen pengenalan diri yang berlaku di Sabah.

Sehubungan itu, katanya kerajaan juga perlu meningkatk­an aspek kesedaran kepada orang ramai supaya tidak terjerumus dalam situasi seperti itu kerana ia menyebabka­n masa depan anak mereka tidak menentu.

“Sekarang ada ramai yang berdepan masalah ini dan kerajaan perlu menyelesai­kannya supaya anak-anak yang tiada pengenalan diri ini tidak terus terbiar,” katanya.

 ??  ?? Keratan akhbar BH semalam.
Keratan akhbar BH semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia