Berita Harian

Polis tahan 17 pelajar disyaki bergaduh depan sekolah

-

Seremban: Polis menahan 17 pelajar yang disyaki terbabit dengan pergaduhan di hadapan sebuah sekolah menengah dalam kejadian pada Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim, berkata mereka yang ditahan berusia 16 sehingga 17 tahun dan polis sudah mengambil keterangan daripada mereka.

“Kertas siasatan sudah lengkap dan akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Jumaat lalu BH melaporkan satu video berdurasi 28 saat tular di laman sosial Facebook menunjukka­n pergaduhan sekumpulan pelajar lelaki dipercayai dari sebuah sekolah menengah di daerah ini.

Dalam rakaman itu, dua kumpulan remaja lelaki yang memakai pakaian seragam sekolah menengah dan berbaju-t menumbuk dan menendang antara satu sama lain.

Difahamkan, pergaduhan itu berlaku di luar pekarangan sekolah, selepas sesi persekolah­an pada Khamis lalu.

Sementara itu Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS), Datuk Pkharuddin Ghazali ketika dihubungi berkata, pihak sekolah sudah mengambil langkah proaktif dengan memanggil ibu bapa dan penjaga pelajar terbabit bagi sesi perbincang­an serta kaunseling.

Katanya, setakat ini mereka memberikan kerjasama yang baik bagi menyelesai­kan salah faham yang timbul sehingga menyebabka­n pergaduhan itu berlaku.

“JPNS dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) turut memberi kerjasama dan bantuan bagi menangani masalah ini.

“Malah, semua pelajar turut bermaafan sesama mereka bagi salah faham yang berpunca daripada isu penggunaan tandas di sekolah.

“Ada yang mengaitkan punca pergaduhan dengan isu perkauman dan kami menafikan sekeras-kerasnya. Pergaduhan hanya berpunca daripada isu kecil saja,” katanya.

Apabila ditanya mengenai tindakan undang-undang yang bakal dihadapi pelajar terbabit, Pkharuddin berkata, pihaknya menyerahka­n sepenuhnya perkara itu kepada polis untuk tindakan lanjut .

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia