Berita Harian

Tak mengaku salah minta rasuah RM3 juta

Bekas setiausaha pejabat kementeria­n hadapi 3 tuduhan beli hartanah di Hong Kong

- Oleh Fatin Hafizah Mohd Shahar fatin@bh.com.my

Kuala Lumpur: Seorang bekas setiausaha pejabat di Kementeria­n Kewangan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam, atas tiga tuduhan rasuah berhubung pembelian hartanah milik kerajaan di Hong Kong, hujung tahun lalu.

Rohaya Sabot, 39, yang masih berkhidmat di kementeria­n sama, membuat pengakuan berkenaan ketika dihadapkan di hadapan Hakim Azman Ahmad.

Dia dituduh sebagai setiausaha pejabat di Pejabat Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaha­raan (Pelaburan), Kementeria­n Kewangan, meminta suapan berjumlah RM3 juta daripada Wan Mohamad Wan Yusuf.

Wang itu sebagai dorongan membantu Wan Mohamad selaku wakil Syarikat Allied Vantage Internatio­nal Group Limited (AVL) dipilih dan ditawarkan sebagai pembeli aset kerajaan, iaitu Bangunan Malaysia di 47-50, Gloucester Road, Wanchai, Hong Kong.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Papparich Ayer@8 Lot B2-G-2 Ayer 8, Presint 8, Putrajaya pada 25 November 2018.

Pertuduhan dikemukaka­n mengikut Seksyen 16(a) (B) Akta Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana lebih tinggi.

Rohaya yang diwakili peguam, Ravin Jay juga menghadapi dua lagi pertuduhan mengikut seksyen sama.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menerima RM50,000 daripada individu sama melalui akaun CIMB Bank dan tuduhan ketiga, menerima RM3,000 melalui deposit tunai ke akaun Maybank Islamic Berhad miliknya sebagai dorongan bagi tujuan yang sama.

Rohaya didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di Maybank Islamic Berhad Al-idrus Cawangan Kuching di Wisma Satok, Jalan Satok, Kuching, Sarawak, masing-masing pada 14 Disember dan 26 Disember 2018.

Wanita itu turut mengaku tidak bersalah bagi dua pertuduhan pilihan, iaitu menipu individu sama dengan memperdaya mangsa bahawa dia boleh membantu syarikat sama dipilih dan ditawarkan sebagai pembeli bagi aset sama.

Perbuatan itu mendorong mangsa memasukkan RM50,000 dan memindahka­n RM3,000 dari akaun CIMB Bank ke akaun Maybank Islamic Bhd milik tertuduh di tempat dan tarikh sama.

Bagi pertuduhan itu, Rohaya didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntu­kkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Zander Lim Wai Keong memohon mahkamah menetapkan jaminan RM20,000 bagi semua pertuduhan kerana kesalahan dilakukan adalah serius.

Peguam tertuduh bagaimanap­un memohon mahkamah memberikan jaminan rendah sebanyak RM10,000 dengan alasan gaji bulanannya hanya RM5,500 dan perlu menanggung bapa yang uzur selain mempunyai komitmen pinjaman perumahan.

Mahkamah kemudian menetapkan ikat jamin RM30,000 bagi semua pertuduhan dan syarat tambahan perlu menyerahka­n pasport kepada mahkamah serta melapor diri di pejabat SPRM terdekat pada minggu pertama setiap bulan.

Mahkamah juga menetapkan 29 Oktober ini untuk sebutan semula kes.

 ?? (Foto BERNAMA) ?? Rohaya tiba di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, semalam.
(Foto BERNAMA) Rohaya tiba di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia