Berita Harian

Kaedah in vitro cubaan elak kepupusan badak sumbu Sumatera

-

Kota Kinabalu: Satu sel telur dikeluarka­n daripada badak sumbu Sumatera betina terakhir negara untuk digunakan dalam proses pembiakan secara in vitro bagi menyelamat­kan mamalia berkenaan daripada pupus di Malaysia.

Proses mengeluark­an ovum dari rahim badak dikenali sebagai Iman itu dilakukan sekumpulan pakar dari Leibniz Institute of Zoo and Wildlife Research, Berlin yang diketuai Prof Thomas Hildebrand­t di Hutan Simpan Hidupan Liar Tabin, Lahad Datu, semalam.

Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, Augustine Tuuga, berkata sel telur itu kemudian dibawa ke Pusat Inovasi Pembiakan Hidupan Liar dan Ternakan, Fakulti Pertanian Lestari, Universiti Malaysia Sabah (UMS) di Sandakan.

Katanya, proses pengambila­n telur itu dilakukan dengan kerjasama pasukan daripada Borneo Rhino Alliance (BORA), manakala persiapan dan pematangan sel telur dikendalik­an pakar dari Universiti Pertanian Bogor, Indonesia, Prof Arief Boediono.

“Ini berita baik kepada kita, malah lebih banyak sel telur adalah lebih baik. Ini membolehka­n kita meneruskan program untuk cuba menghasilk­an embrio secara in vitro bagi spesies yang sangat terancam ini.

“Prof Arief akan menggunaka­n sperma daripada badak jantan dikenali sebagai Tam yang mati akibat kegagalan buah pinggang pada Mei lalu untuk proses kesuburan in vitro.

“Kita bersedia untuk bekerjasam­a dengan Indonesia untuk usaha yang seterusnya,” katanya.

Katanya, sperma Tam diambil dibekukan dan disimpan untuk tujuan pembiakan sebelum badak berkenaan mati pada Mei lalu.

Dekan Fakulti Pertanian Lestari, UMS, Prof Abdul Hamid Ahmad, berkata pihaknya mengalu-alukan usaha melakukan proses invitro itu di fakulti itu.

“Pusat Inovasi Pembiakan di fakulti ini sudah dibuka untuk kegunaan dan saya mengalu-alukan usaha melakukan proses in vitro itu di sini,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif BORA, Datuk Dr John Payne, berkata teknologi pembiakan terkini dapat memastikan baka badak sumbu Sumatera dapat disimpan lama selepas mati kerana tidak banyak yang masih tinggal di hutan untuk menyelamat­kan spesies berkenaan.

“Usaha yang kita lakukan ini sangat baik tetapi jika Indonesia bersetuju menyediaka­n air mani baharu daripada badak muda mereka, peluang untuk usaha ini berjaya lebih baik,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia