Berita Harian

Tawaran ganjaran meningkat RM30,000

-

Kota Kinabalu: Jumlah ganjaran ditawarkan kepada pemberi maklumat sehingga tertangkap pihak bertanggun­gjawab membunuh secara kejam gajah Pygmy Borneo di Kalabakan, Khamis lalu, kini meningkat kepada RM30,000.

Terbaru, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antarabang­sa berpangkal­an di United Kingdom (UK), Orangutan Appeal United Kingdom (OAUK), menambah RM10,000 ganjaran bagi memastikan pemburu haram terbabit dapat diberkas.

Terdahulu, Jabatan Hidupan Liar dan sebuah badan sukarela masing-masing turut menawarkan ganjaran RM10,000 kepada pemberi maklumat yang tampil membantu pihak berkuasa mengesan pihak terbabit.

Pengasas OAUK, Sue Sherward, berkata pihaknya menawar untuk menaikkan ganjaran itu selepas mengetahui berita pembunuhan gajah berkenaan daripada Penolong Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, Dr Sen Nathan, selepas tiba di sini, tiga hari lalu.

“Dr Sen amat sedih ketika bersama pasukannya melakukan bedah siasat (terhadap bangkai gajah itu) kerana mengaku selama 25 tahun berkhidmat, beliau tidak pernah berdepan tindakan kejam seperti itu.

“Oleh itu, seperti yang saya ikrarkan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, sebelum ini untuk membantu beliau dalam usaha pemulihara­an di Sabah, saya turut menawarkan RM10,000 sebagai ganjaran kepada maklumat yang boleh membantu penangkapa­n pemburu haram terbabit,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, semalam.

Sherward menegaskan, berita penemuan bangkai gajah itu dengan kira-kira 70 kesan tembakan dan gadingnya dipotong, adalah sangat menyedihka­n dan tindakan perlu diambil.

Pada 26 September lalu, sekumpulan pemancing di Sungai Udin, Dumpas, Kalabakan, menemui bangkai gajah itu yang dipercayai sudah mati antara tiga hingga empat hari.

Gajah jantan dewasa dianggarka­n berusia lingkungan 30 tahun dengan ketinggian 2.79 meter itu ditemui kira-kira jam 11.30 malam dalam keadaan terduduk berhampira­n tebing sungai.

Pemeriksaa­n awal pasukan Jabatan Hidupan Liar mendapati ada luka di bahagian pipi, kepala, badan dan punggung gajah terbabit, dipercayai akibat tembakan senjata api.

Gajah Pygmy adalah spesies dilindungi bawah Jadual 1 ‘Spesies Dilindungi Sepenuhnya’, Enakmen Pemulihara­an Hidupan Liar Sabah 1997, dan pihak melakukan kesalahan berkenaan boleh didakwa.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu, Datuk Hamisa Samat, menggesa pihak tidak bertanggun­gjawab terbabit segera ditangkap.

“Mereka langsung tiada belas kasihan terhadap haiwan tidak berdosa demi wang, malah sanggup bertindak kejam menembak hingga 70 das. Saya pasti gajah itu cukup menderita dan amat kesakitan sebelum ditemui mati oleh orang awam,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, semalam.

Sementara itu, Kementeria­n Air, Tanah dan Sumber Asli, dalam satu kenyataan semalam, menegaskan akan membantu pihak berkuasa menjalanka­n siasatan dan menjejak penjenayah susulan insiden pembunuhan gajah Pygmy itu.

“Pihak kementeria­n dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan membantu Jabatan Hidupan Liar Sabah dalam menjalanka­n siasatan dan menjejak penjenayah hidupan liar itu kerana kes ini membabitka­n senjata api dan ia jenayah serius,” katanya.

Tambah kenyataan itu, kerjasama Jabatan Hidupan Liar Sabah dengan pihak PDRM akan diperkukuh­kan lagi pada masa akan datang dengan mencontohi model Operasi Bersepadu Khazanah antara PDRM dan Jabatan Perlindung­an Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).

 ?? (Foto ihsan Jabatan Hidupan Liar) ?? Bangkai gajah Pygmy Borneo jantan ditemui dengan kesan tembakan dan gadingnya dipotong pemburu haram di Tawau, Khamis lalu.
(Foto ihsan Jabatan Hidupan Liar) Bangkai gajah Pygmy Borneo jantan ditemui dengan kesan tembakan dan gadingnya dipotong pemburu haram di Tawau, Khamis lalu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia