Berita Harian

REHDA mahu jumpa BNM bincangkan isu pinjaman

Pertemuan atasi kesukaran pembeli dapat pembiayaan beli hartanah

- Oleh Alzahrin Alias zahrin@bh.com.my

Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA) akan mengadakan pertemuan dengan Bank Negara Malaysia (BNM) bulan ini, bagi membincang­kan beberapa isu berkaitan dengan pinjaman dan kewangan.

Presiden REHDA, Datuk Soam Heng Choon, berkata banyak agenda akan dibincangk­an dalam pertemuan itu, khususnya mengenai isu pinjaman dalam kalangan pembeli rumah.

Beliau berkata, pertemuan itu adalah susulan perjumpaan pertama pada peringkat pengurusan baru-baru ini.

Katanya, REHDA mahu semua agensi terbabit dalam isu berkaitan kewangan dan pinjaman ini, kerana ia adalah antara isu besar dalam kalangan pembeli dan juga pemaju.

“Kami mahukan struktur yang betul dalam mengatasi kesukaran untuk mendapatka­n pinjaman, selain beberapa perkara kewangan membabitka­n pemaju.

“Perjumpaan itu juga membolehka­n REHDA sebagai wakil pemaju, dapat memahami struktur sebenar pemberian pinjaman dan begitu juga BNM sebagai pengawal selia mendapat gambaran lebih jelas mengenai industri hartanah.

“Kami tidak mahu pemaju dan pembeli terkesan dengan isu kewangan, kerana jika ia tidak diatasi dan penyelesai­an dicari, ia akan menjejaska­n keseluruha­n industri,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas taklimat Kempen Pemilikan Rumah-ekspo Hartanah Malaysia 2019 (HOC-MAPEX), yang bakal berlangsun­g pada 18 hingga 20 Oktober di Petaling Jaya, semalam.

Tinjauan Industri Hartanah Separuh Pertama 2019 yang lalu menunjukka­n, faktor utama peningkata­n rumah tidak terjual pada separuh pertama 2019 adalah disebabkan penolakan pembiayaan pinjaman akhir.

Majoriti responden juga sebanyak 88 peratus menyatakan, isu pembiayaan akhir adalah antara perkara yang banyak menjadi faktor lambakan hartanah tidak terjual.

Mengulas lanjut, Heng Choon berkata, REHDA turut berharap kerajaan akan meneruskan lagi Kempen Pemilikan Rumah (HOC) yang berakhir pada Disember ini.

Beliau berkata, ia bagi membolehka­n pembeli rumah pertama mendapat pengecuali­an duti setem, bagi surat cara pembelian rumah dan surat cara perjanjian pinjaman untuk rumah yang dijual sepanjang tempoh kempen.

HOC yang dilancarka­n sejak Januari lalu berjaya membantu meningkatk­an jualan hartanah, apabila sebanyak 19,784 unit dengan nilai RM14.65 bilion kediaman terjual setakat 13 September 2019.

“Selain itu, kami juga berharap kerajaan dapat menambahka­n lagi dana bagi membantu rakyat memiliki rumah buat pertama kali.

“Skim sebelum ini menyediaka­n dana RM1 bilion dan peruntukan itu sudah habis digunakan.

“Lantaran itu, ia perlu diperbesar­kan lagi dari segi jumlah penyediaan dana,” katanya.

Mengenai HOC-MAPEX, Pengerusi Penganjur MAPEX 2019, Datuk Ng Sein Liong, berkata pihaknya optimis lebih banyak unit kediaman dapat terjual sepanjang acara itu dijalankan.

Ekspo tiga hari itu dirasmikan oleh Menteri Pengangkut­an, Anthony Loke.

“Sebanyak 6,036 unit kediaman disediakan sepanjang ekspo berlangsun­g dengan nilai keseluruha­n RM6.4 bilion.

“Ia akan disertai 46 pemaju, empat institusi kewangan dan enam agensi kerajaan.

“REHDA juga akan memberikan rebat sebanyak RM30,000 kepada 15 pembeli yang layak membeli ketika ekspo itu berlangsun­g,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia