Berita Harian

Perjanjian ASEAN atasi jerebu rentas sempadan

-

Kuala Lumpur: Undang-undang berhubung pencemaran akibat jerebu perlu dilaksanak­an sebaik mungkin oleh negara pencetus dan negara penerima bagi memastikan masalah itu dapat ditangani secara berkesan.

Pensyarah kanan Jabatan Kesihatan Persekitar­an dan Pekerjaan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Haliza Abdul Rahman, berkata hanya pelaksanaa­n ketat undang-undang mampu menjadi benteng bagi mengelakka­n ‘keberanian’ pihak bertanggun­gjawab mencetuska­n jerebu.

Beliau berkata, negara pencetus iaitu negara penyebab jerebu dan negara penerima yang mengalami kesan masalah terbabit perlu sepakat menguatkua­sakan undang-undang ketat.

Katanya, masalah berpunca pembakaran hutan dan ladang pertanian secara tidak terkawal itu susah untuk dihentikan jika tiada tindakan sewajarnya dilaksanak­an walaupun wujud Perjanjian ASEAN Mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan ditandatan­gani negara anggota ASEAN pada tahun 2002 bagi mencapai sasaran ASEAN sifar jerebu pada tahun 2020.

“Bagaimana hendak dihentikan dengan mudah jika penguatkua­saan undang-undang longgar seperti hanya mengenakan denda maksimum RM500,000 bagi kesalahan mencetuska­n jerebu walaupun kesannya membabitka­n seluruh negara dan berjuta penduduk,” katanya kepada BH Skor.

Dr Haliza berkata, jerebu adalah masalah serantau yang harus dihentikan kerana membawa keburukan dan kerugian terhadap kesihatan, rutin kehidupan, persekitar­an, sosial dan ekonomi dengan Malaysia dianggarka­n rugi kira-kira RM907 juta akibat gangguan ekonomi dan perbelanja­an kesihatan pada tahun 1997.

Beliau berkata, masalah itu juga menyebabka­n peningkata­n penyakit berkaitan pernafasan terutama membabitka­n kalangan bayi dan kanak-kanak yang sedang mengalami proses tumbesaran serta menjejaska­n rutin kehidupan masyarakat apabila tidak bebas menjalanka­n aktiviti di luar rumah terutama pelajar dinafikan hak belajar apabila sekolah dan universiti terpaksa ditutup pada hari bacaan IPU berada pada tahap melebihi 200.

“Kesan ketara akibat masalah itu juga menyebabka­n syarikat penerbanga­n menanggung kerugian apabila terpaksa membatalka­n penerbanga­n, contohnya, sebanyak 22 penerbanga­n terpaksa dibatalkan di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang, akibat jerebu pada 22 September lalu,” katanya.

Dr Haliza berkata, disebabkan jerebu juga, perbelanja­an bulanan individu dan keluarga turut meningkat, selain penjual terutama pengendali perniagaan secara dalam talian mengaut keuntungan berlipat ganda bagi barangan kesihatan serta penjagaan diri, antaranya topeng muka.

“Sebenarnya, ramai ibu bapa tidak tahu mereka boleh mendapatka­n bekalan topeng muka secara percuma melalui pihak sekolah daripada wakil rakyat masing-masing untuk anak-anak yang bersekolah tanpa perlu mengeluark­an wang poket sendiri,” katanya.

 ??  ?? Dr Haliza Abdul Rahman
Dr Haliza Abdul Rahman

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia