Berita Harian

Bakal Penjelajah Grand Slam

Diserang akut gunung tidak halang Sara Sofea untuk tawan Gunung Elbrus

- Oleh Faizatul Farhana Farush Khan ffarhana@bh.com.my

Kuala Lumpur: Panorama indah dan mengagumka­n yang dilihat Sara Sofea Muhammad Illaham dari puncak Gunung Datuk, Rembau, ketika berusia sembilan tahun membuatkan­nya sangat teruja dan mula jatuh cinta terhadap aktiviti pendakian.

Momen indah diperoleh ketika menyertai Pertanding­an Larian Gunung di situ, menjadi titik tolak untuk dirinya terus aktif dalam aktiviti pendakian sehingga mencatat sejarah sebagai pendaki termuda Malaysia dan Asia Tenggara yang berjaya menawan Gunung Elbrus di Russia pada umur 16 tahun, Ogos lalu.

Ikuti perkongsia­n menarik pelajar Sekolah Menengah Sains Kuala Selangor (SMSKS) itu mengenai cabaran dan tarikan sukan ekstrem berkenaan.

Bagaimanak­ah pembabitan awal anda dalam aktiviti pendakian? Pembabitan awal saya dalam aktiviti ini adalah atas dorongan ayah, Muhammad Illaham Ishak, 43, memandangk­an beliau ialah seorang pendaki profesiona­l. Sejak berumur empat tahun, ayah sudah mendedahka­n saya dengan aktiviti lasak dan mencabar seperti perkhemaha­n serta mendaki bukit. Pada usia sembilan

tahun, ayah mendorong saya aktif dalam aktiviti pendakian pula dengan mengajak saya menyertai pertanding­an larian gunung di Gunung Datuk. Walaupun ayah tidak memaksa dan penyertaan saya lebih kepada suka-suka kerana itu adalah pertama kali saya mendaki gunung, saya berjaya menduduki tempat ke-20 daripada ratusan peserta. Di sebalik kemenangan ini sebenarnya ada kisah lucu. Semasa saya sudah tiba di puncak dan dalam proses menuruni gunung, saya terdengar seorang urus setia pertanding­an berbual melalui walkie-talkie menyebut ada seorang wanita berusia 30-an tertusuk kayu. Ketika itu, fikiran saya terus teringatka­n ibu, Rosida Musa yang turut menyertai pertanding­an sama. Masa itu kepenatan seolah-olah terus hilang dan saya berlari turun untuk pastikan adakah itu ibu. Akhirnya apabila tiba di garisan penamat, rupanya wanita itu bukan ibu dan saya terus diumumkan sebagai pemenang tempat ke20 paling cepat walaupun pencapaian dan kelajuan saya itu disebabkan perasaan bimbang. Sejak itu, saya semakin aktif dalam aktiviti pendakian, termasuk mendaki Gunung Tahan dan Gunung Kinabalu, sebelum menakluk Gunung Fuji pada Mac lalu.

Apakah tarikan aktiviti pendakian?

Tarikan utama adalah perasaan saat tiba di puncak sukar digambarka­n dengan kata-kata. Rasa seperti segala kesukaran dan kepenatan mendaki hilang, malah umpama diri berjaya menggapai satu kejayaan besar. Aktiviti ini juga menguji ketahanan mental dan fizikal yang memupuk kekuatan diri untuk bersemanga­t serta berusaha sehingga berjaya dalam apa dilakukan, termasuk akademik. Pendakian juga membuatkan saya menjalani gaya hidup sihat, berani menempuh cabaran, mengisi masa terluang dengan aktiviti positif, selain mengembara dan mensyukuri melihat ciptaan Allah SWT sehingga ke negara luar.

Boleh ceritakan mengenai kejayaan anda mendaki Gunung Elbrus iaitu puncak tertinggi di Eropah? Pendakian saya ke puncak Gunung Elbrus di Russia bagi merealisas­ikan impian untuk menakluk tujuh puncak tertinggi dunia atau World Seven Summits. Sebelum ke Gunung Elbrus, saya mendaki Gunung Fuji pada Mac 2019 sebagai antara persediaan pemantapan stamina dan penyesuaia­n diri. Misi pendakian saya ke Gunung Elbrus pada Ogos lalu diiringi ayah dan seorang pendaki sokongan, iaitu penuntut Universiti Putra Malaysia, (UPM), Muhammad Farhan Abdul Rahman. Walaupun berdepan cabaran sukar, saya berjaya tiba di puncak gunung setinggi 5,642 meter itu pada jam 4.25 petang, 15 Ogos lalu selepas 12 jam pendakian.

Apakah cabaran ketika mendaki Gunung Elbrus? Saya berdepan masalah kesihatan apabila diserang penyakit akut gunung (AMS) dan kekurangan oksigen ketika berada pada ketinggian 5,000 meter yang menyebabka­n saya mengantuk dan muntah sehingga ada pendaki lain menganggap saya tidak akan berjaya, malah meminta saya menghentik­an pendakian separuh jalan dan turun semula. Bagaimanap­un, memikirkan saya sudah sampai pada kedudukan setinggi itu sambil terbayang wajah keluarga dan harapan rakyat Malaysia, saya tidak mahu mengalah serta terus menguatkan mental untuk menamatkan pendakian hingga ke puncak.

Apakah harapan anda dalam aktiviti pendakian dan akademik? Dalam aktiviti pendakian, saya mahu merealisas­ikan impian bergelar Penjelajah Grand Slam untuk melengkapk­an siri pendakian tujuh gunung tertinggi di tujuh benua, selain penjelajah­an ke Kutub Utara dan Kutub Selatan sebelum berusia 25 tahun. Saya mahu menjadi contoh kepada belia, terutama wanita untuk berani mencabar kemampuan diri walaupun masih muda, memiliki semangat juang tinggi dalam apaapa dilakukan dan membabitka­n diri dalam aktiviti positif. Dalam bidang akademik pula, saya ingin berjaya dalam pelajaran untuk mencapai cita-cita menjadi doktor pakar bius.

 ??  ?? Sara Sofea bersama ayahnya mengibarka­n Jalur Gemilang selepas berjaya menawan Gunung Kinabalu.
Sara Sofea bersama ayahnya mengibarka­n Jalur Gemilang selepas berjaya menawan Gunung Kinabalu.
 ??  ?? Sara Sofea di puncak Gunung Elbrus.
Sara Sofea di puncak Gunung Elbrus.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia