Berita Harian

Fatwa Afifi rujukan dunia

Karya ulama Melayu pertama di Oxford perjelas Islam tidak ajar umat lakukan keganasan

-

Kuala Lumpur: Fatwa bahawa Islam tidak membenarka­n mana-mana pihak, terutama umatnya melakukan kekejaman dan membunuh orang awam yang diiktiraf dan menjadi rujukan banyak negara, sekali gus menempatka­n Datuk Dr Afifi al-akiti, setanding ulama terkemuka dunia.

Menurut felo Pusat Pengajian Islam Universiti Oxford itu, penulisann­ya dihasilkan ketika beliau menuntut di Universiti Oxford dalam bidang Teologi, Falsafah dan Pengajian Islam.

Karya dalam bahasa Arab berjudul Mudafi al-mazlum bi-radd al-muhamil ála Qital Man La Yuqatil (Defending the Transgress­ed by Censuring the Reckless against the Killing of Civilians) tentang pembelaan terhadap pihak teraniaya dengan mengecam kumpulan pelampau yang membunuh orang awam, ditulis beliau ekoran kejadian letupan bom di London pada 7 Julai 2005.

Berikutan kejadian terbabit, beliau mengirim sebuah risalah panjang menerusi e-mel kepada kumpulan ulama bagi menjelaska­n bahawa menurut Mazhab Shafie, agama Islam tidak mengajar umatnya bertindak ganas bahkan agama keamanan.

Risalah dalam bahasa Arab itu diterima ulama Islam dan kemudianny­a turut diterjemah­kan ke pelbagai bahasa termasuk bahasa Inggeris, Perancis dan Jerman, menjadikan beliau dikenali di mata dunia.

Sehingga kini, fatwa tersebut kerap digunakan sebagai rujukan pendakwah dan ahli akademik serta sebagai hujah dalam perdebatan pengamal media termasuk wartawan penyiaran Al Jazeera, Mehdi Hasan bagi menangkis tanggapan bahawa Islam merupakan agama yang menyokong keganasan.

Lebih membanggak­an apabila Afifi, 43, anak kelahiran Batu Gajah, Perak itu menjadi rakyat Malaysia serta anak Melayu pertama dan satu-satunya yang ditawarkan jawatan tetap di universiti terkemuka berusia lebih 900 tahun itu sebagai pensyarah pada usia 32 tahun berdasarka­n pengetahua­n dan pengalaman luas beliau tentang pengajian Islam.

Beliau berkata, khidmatnya di universiti berkenaan umpama ‘duta’ masyarakat Nusantara terutamany­a Malaysia kerana warga Universiti Oxford yang kebanyakan­nya terdiri daripada rakyat Britain, Amerika dan Eropah belum pernah menjejakka­n kaki ke Asia Tenggara.

“Ini merupakan satu amanah daripada Allah SWT. Saya menerimany­a dengan rendah diri. Alhamdulil­lah penerimaan komuniti di sana sangat baik dan menakjubka­n. Pelajar lain seperti dari falkuti sains juga hadir ke kuliah saya,” beliau memberitah­u BERNAMA ketika berada di tanah air, baru-baru ini.

“Di sana kita mahu mengajar Islam dengan cara yang bersanad dan berhikmah, kesinambun­gan daripada ulama terkemuka seperti Imam al-ghazali sehingga kepada Rasulullah SAW, agar tidak terjebak dengan ajaran sesat,” tambahnya.

Ulama terkemuka itu turut menggalas tugas penting sebagai Imam Paduka Tuan (Orang Besar Delapan) Perak selaku penasihat rasmi kepada Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dalam pelbagai perkara, terutamany­a berkaitan Islam.

Beliau yang boleh berkomunik­asi dalam tujuh bahasa termasuk Latin, Greek, Perancis, Jerman, Arab, Inggeris dan Melayu itu turut dilantik menjadi Ahli Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak oleh Almarhum Sultan Azlan Shah pada 2009.

Pada 2018, Majlis Raja-raja melantik Afifi sebagai Timbalan Pengerusi Jawatankua­sa Tertinggi Majlis Raja-raja Hal Ehwal Islam Peringkan Persekutua­n.

“Jawatankua­sa ini penting untuk meyakinkan pihak pemegang kepentinga­n peringkat tertinggi bagi bidang kuasa Islam, iaitu Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja Melayu untuk memberikan cadangan dan penambahba­ikan institusi agama Islam di peringkat Persekutua­n,” jelas Afifi.

Atas jasa dan sumbangann­ya di peringkat antarabang­sa, maka tidak hairanlah beliau turut tersenarai dalam The World’s 500 Most Influentia­l Muslims, sejak tahun 2010 sehingga kini.

Makalah itu diterbitka­n oleh Pusat Kajian Strategik Islam Diraja, di Amman, Jordan.

 ??  ?? Dr Afifi al-akiti
Dr Afifi al-akiti

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia