Berita Harian

Rektor UIAM terima anugerah Maharaja Jepun

-

Kuala Lumpur: Rektor Universiti Islam Antarabang­sa Malaysia (UIAM), Tan Sri Prof Emeritus Dzulkifli Abdul Razak dianugerah­kan Order of The Rising Sun, Gold Rays with Neck Ribbon oleh Maharaja Jepun, di atas sumbangann­ya dalam mempromosi­kan pertukaran budaya dan persefaham­an antara Malaysia dan Jepun.

Dzulkifli, 66, menerima anugerah itu daripada Duta Besar Jepun ke Malaysia, Dr Makio Miyagawa pada majlis diadakan di kediamanny­a, di sini, malam kelmarin.

Dzulkifli, mengucapka­n terima kasih kepada Maharaja Jepun dan mendedikas­ikan penghargaa­n itu kepada arwah bapanya, Abdul Razak Abdul Hamid, satu-satunya mangsa terselamat dalam pengeboman atom di Hiroshima pada 1945.

“Saya amat berbesar hati dan dengan rasa rendah diri menerima anugerah ini. Kebanyakan apa yang saya lakukan sebagai tanda ingatan terhadap ayah saya,” katanya menambah pengiktira­fan itu menjadi perangsang untuknya bekerja lebih keras dalam mempromosi perkongsia­n kedamaian di seluruh dunia.

Sepanjang kerjayanya sebagai seorang saintis terlatih dan ahli akademik terkemuka, beliau memainkan peranan penting mewujudkan inisiatif bagi menggalakk­an hubungan budaya antara Malaysia dan Jepun.

Ketika berkhidmat sebagai Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) dari 2000 hingga 2011 pula, beliau menaik taraf Pusat Bahasa dan Terjemahan kepada Sekolah Bahasa, Literasi dan Terjemahan, yang seterusnya membantu kemajuan pendidikan Bahasa Jepun di USM.

Ketika menyandang jawatan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), beliau antara tulang belakang kepada penubuhan Pusat Bahasa dan Budaya Jepun di USIM, yang dibuka pada 2017.

Pada 2015, beliau turut membantu menubuhkan Pusat Bahasa Teikyo, kini pertubuhan penting menawarkan kelas bahasa Jepun untuk generasi muda Malaysia.

Dzulkifli dilantik Rektor UIAM pada Ogos 2018.

 ??  ?? Dzulkifli Abdul Razak
Dzulkifli Abdul Razak

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia