Berita Harian

Selangor bangun program pantau sungai utama

Kerjasama dengan Smart Selangor elak pencemaran berulang

- Oleh Norzamira Che Noh bhnews@bh.com.my

Shah Alam: Kerajaan Selangor sedang membangunk­an satu program untuk memantau sungai utama yang mempunyai kapasiti atau peluang pencemaran yang besar di negeri itu.

Menteri Besar, Amirudin Shari, berkata program yang dibangunka­n bersama Smart Selangor itu bakal memastikan pencemaran sungai yang turut menyebabka­n henti tugas loji rawatan air (LRA), dapat dihalang.

“Pencemaran bau di sumber air mentah Sungai Semenyih pada sabtu lalu sudah ditangani dan saya rasa kita perlu mengambil langkah pencegahan serta pemantauan untuk memastikan ia tidak berlaku lagi.

“Justeru, kita kini sedang bina satu program dengan Smart Selangor untuk memantau sungai utama yang mempunyai kapasiti atau peluang pencemaran yang besar,” katanya selepas merasmikan Konvensyen Transforma­si Pengurusan Hal Ehwal Islam, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, semalam.

Katanya, sukar untuk menangkap pelaku yang membuang sisa tercemar ke dalam sungai dan pemantauan dilakukan apabila berlaku pencemaran.

Katanya, seperti kes pencemaran di Sungai Semenyih, sisa tercemar itu dikesan datang dari satu kemudahan milik Indah Water Konsortium (IWK) malah sehari sebelum kejadian, sebuah lori ditahan kerana membuang sisa kumbahan di sungai berdekatan. “Kita sukar mengawal serta menangkap pelaku kerana banyak kilang dan kedai di kawasan berkenaan,” katanya.

Sabtu lalu, BH Online melaporkan, 372,031 pemegang akaun di 204 kawasan di Selangor terjejas bekalan air apabila operasi LRA Sungai Semenyih terpaksa dihentikan susulan pencemaran bau dikesan di sumber air mentah di Sungai Semenyih.

Pencemaran berpunca dari Loji Rawatan Kumbahan di Bandar Bukit Mahkota itu menyebabka­n gangguan bekalan air tidak berjadual di empat daerah iaitu Wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menerusi satu kenyataan berkata, pencemaran bau dengan bacaan lima ton itu adalah kejadian kali keempat pada tahun ini yang menyebabka­n loji utama terpaksa dihentikan daripada beroperasi.

 ?? (Foto Sadam Yusoff/bh) ?? Amirudin mendengar penerangan Penyelia Kanan Bahagian Pendidikan Islam JAIS, Yuszaimi Muslil (kanan) ketika melawat pameran pada Konvensyen Transforma­si Pengurusan Hal Ehwal Islam JAIS di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, di Shah Alam, semalam.
(Foto Sadam Yusoff/bh) Amirudin mendengar penerangan Penyelia Kanan Bahagian Pendidikan Islam JAIS, Yuszaimi Muslil (kanan) ketika melawat pameran pada Konvensyen Transforma­si Pengurusan Hal Ehwal Islam JAIS di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, di Shah Alam, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia