Berita Harian

65 peratus isi rumah dapat manfaat

-

Shah Alam: Penetapan pemberian air percuma kepada isi rumah berpendapa­tan RM4,000 ke bawah oleh kerajaan Selangor ketika ini masih boleh dinikmati oleh sejumlah 65 peratus penerima inisiatif itu sebelum ini.

Menteri Besar, Amirudin Shari, berkata formula RM4,000 itu adalah yang terbaik kerana pada awalnya kerajaan negeri mahu memberikan 25 meter padu air percuma kepada isi rumah berpendapa­tan RM2,000.

“Pada asasnya, kita mahu tetapkan tangga gaji sebanyak RM2,000 bagaimanap­un kita naikkan kepada RM4,000 kerana di Selangor, golongan B40 adalah pendapatan isi rumah adalah RM6,000 ke bawah.

“Berdasarka­n kajian kita juga, dengan tangga gaji itu (RM4,000), 65 peratus isi rumah masih boleh menikmati faedah air percuma kerajaan negeri,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Transforma­si Pengurusan Hal Ehwal Islam, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, semalam.

Beliau berkata, bagi isi rumah yang mempunyai pendapatan melebihi yang ditetapkan, tetapi mempunyai ahli keluarga yang ramai, mereka boleh memohon untuk mendapatka­n faedah berkenaan.

Katanya, sebelum ini faedah air percuma dinikmati semua bagaimanap­un penetapan tangga gaji dibuat untuk memastikan hanya golongan yang benar-benar memerlukan sahaja mendapat faedah itu.

“Bagi penyewa, mereka boleh mendaftar akaun secara terus dan bukan diberikan kepada tuan rumah. Jika sebelum ini, tuan rumah yang mendapat manfaat, kali ini penyewa pula yang dapat,” katanya.

Sementara itu, Program Pemberian Air Percuma yang dilaksanak­an kerajaan Selangor sejak 1 Jun 2008, akan dijenamaka­n sebagai Skim Air Darul Ehsan berkuat kuasa 1 Mac 2020.

Amirudin sebelum ini berkata, keputusan itu berikutan peningkata­n jumlah penduduk setiap tahun yang memberi kesan besar kepada kedudukan kewangan negeri.

“Menerusi Skim Air Darul Ehsan, ia akan menyasarka­n kumpulan penduduk dengan pendapatan isi rumah RM4,000 dan ke bawah, bagi pengguna domestik yang mempunyai meter individu.

“Bagi pengguna di pangsapuri kos rendah yang mempunyai meter pukal, syarat kelayakann­ya adalah sama, namun permohonan mereka perlu mendapat pengesahan daripada Badan Pengurusan Bersama (JMB) atau Perbadanan Pengurusan (MC),” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia