Berita Harian

Masih seperti dahulu

Biarpun dihambat kontrovers­i tiada kesudahan, Exists gah dalam konsert reunion

- Oleh Farihad Shalla Mahmud farihad@bh.com.my

Sabtu lalu, Stadium Malawati di Shah Alam, menyaksika­n lakaran sejarah apabila sekumpulan penyanyi dan pemuzik, bergabung dalam Konsert Reunion Exists 2019 selepas lebih dua dekad membawa haluan sendiri. Siapa sangka bermula dengan perbincang­an biasa di gerai makan, akhirnya membawa langkah kumpulan ini ke pentas gah berskala besar. Sejak mengumumka­n mereka akan muncul dalam konsert penyatuan semula ini, ramai peminat setia sudah tidak sabar untuk menjadi sebahagian daripada sejarah itu.

Justeru, tidak hairanlah, lebih 4,000 pemuja membanjiri stadium walaupun hujan lebat pada sebelah petang.

Memperkata­kan mengenai Exists, tidak dinafikan mereka memiliki himpunan lagu popular. Sejak dari zaman Mamat bergelar vokalis hinggalah tanggungja­wab itu diserahkan kepada Ezad, kumpulan yang ditubuhkan pada 1990 itu mempunyai banyak lagu yang menyentuh hati pendengar.

Sebak rasa hati saat mendengar Mamat menyampaik­an lagu Untukmu Ibu yang menjadi pertaruhan awal mereka ketika menceburi bidang seni.

Biarpun sudah hampir 30 tahun itu dicipta, namun, ia masih mempunyai aura yang mampu menarik perhatian pelbagai generasi dan relevan hingga hari ini.

Saat bunyi petikan gitar mula berkumanda­ng dan lampu dipadamkan, sorakan penonton bergema memenuhi ruang stadium tertutup itu sebagai tanda sudah tidak sabar melihat kumpulan dianggotai Mamat, Ezad, Ajai, Ujang, Shah, Musa dan Along ini beraksi.

Memilih lagu Anugerah dan Sebelum Terlewat sebagai lagu pemanas badan, Mamat atau nama sebenarnya, Mohd Ali Kamaruddin menyentuh hati penonton dengan lagu berirama melankolik, iaitu Nota Di Lautan Sepi dan Janji Padamu sebelum menyerahka­n pentas kepada Ezad.

Menyorot kembali perjalanan seni kumpulan yang berasal dari Johor Bahru ini, terlalu banyak kontrovers­i tercetus antara mereka.

Perselisih­an faham, perpecahan dan masalah penyalahgu­naan dadah menjadi antara kontrovers­i hingga mencalar reputasi dan imej dibina.

Namun, atas dasar semangat persahabat­an dan ikatan persaudara­an, mereka sanggup ketepikan perasaan negatif demi konsert yang penuh bermakna.

Justeru, aura positif dan keikhlasan berkarya yang ditebarkan sepanjang lebih dua jam mereka beraksi dapat dirasakan penonton.

Sebagai hadiah, penonton membalas kembali dengan mempamerka­n semangat serta sokongan apabila turut menyanyi bersama.

Tugas itu menjadi mudah apabila penganjur konsert, Shiraz Projects Sdn Bhd menyediaka­n dua skrin di pentas yang memaparkan lirik lagu. Ini menjadikan konsert itu seperti berada di pusat hiburan karaoke.

Meriah suasana apabila melihat penonton daripada pelbagai lapisan usia menjadi ‘penyanyi latar’ kepada dua penyanyi berkenaan.

Selain menyajikan lagu ‘mesra’ telinga, pengalaman berpuluh tahun dalam bidang muzik apabila ada antara mereka bergelar komposer dan pemuzik handalan termasuk terkenal di luar negara, menjadikan konsert ini cukup bertenaga daripada segi susunan muzik.

Walaupun membuat perubahan, namun ia tidak dilakukan secara keterlalua­n. Melodi asal masih dijaga, pada masa sama, sesuai untuk didendangk­an pada konsert berskala mega itu.

Apa yang pasti, vokal dua penyanyi ini sangat hebat, terutama Ezad yang apabila membuka mulut, bunyinya sama seperti yang didengari melalui cakera padat.

Lagu Bunga yang disampaika­nnya boleh dianggap sebagai paling ‘mega’ dan membuatkan penonton sukar untuk melupakann­ya walaupun konsert sudah berakhir

Pujian juga wajar diberi kepada Mamat kerana mempunyai semangat juang yang kental. Berdepan kontrovers­i apabila ditahan polis kerana isu dadah menjelang konsert, bukanlah halangan buatnya memberikan komitmen terbaik.

Seperti janjinya pada sidang media dua hari sebelum konsert berlangsun­g, itulah yang diberikan penyanyi berusia 41 tahun ini.

Penghayata­nnya Mamat mengundang rasa syahdu. Mamat umpama meluahkan segala rasa hatinya itu dalam untaian yang didendangk­an.

Konsert yang bagus bukan saja terletak kepada subjek utama iaitu artis, sebaliknya dibantu aspek teknikal yang sempurna. Konsert ini cukup bertuah kerana disokong dengan sistem bunyi dan penataan cahaya yang baik. Puas rasa hati apabila dapat mendengar muzik dan vokal penyanyi seimbang.

Imej grafik yang dipaparkan di layar gergasi belakang pentas juga membantu daripada aspek santapan visual.

Antara lagu hit yang turut dinyanyika­n adalah Mengintai Dari Tirai Kamar, Masih Terserlah Ayumu, Jesnita, Seperti Dulu, Langkah Seiringan, Rahsia Pohon Cemara, Dirantai Digelangi Rindu dan Alasanmu yang menjadi lagu penutup.

Agak sukar mencari kelemahan konsert ini. Kalau ada pun, mungkin dari segi penyusunan lagu kerana ada setengah lagu popular, dinyanyika­n lebih awal.

Seperti kata Ajai, jika ditakdirka­n konsert reunion itu adalah yang terakhir daripada mereka, biarlah ia meninggalk­an kenangan terindah buat penonton.

Memori itulah yang dirasakan setiap peminat yang hadir. Ia terus basah dalam ingatan walaupun suatu hari nanti, Exists mungkin hanya tinggal nama.

 ??  ??
 ?? Grafikbh ?? Mamat dan Ezad berpadu suara.
Grafikbh Mamat dan Ezad berpadu suara.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia