Berita Harian

Tahajud kunci pelbagai kejayaan, jemput rezeki

-

Firman Allah SWT: “Dan pada sebahagian malam hari, solat tahajudlah kamu sebagai suatu ibadah tambahan bagimu; mudah-mudahan Tuhanmu mengangkat kamu ke tempat yang terpuji.” (Al-isra’: 79)

Menghidupk­an malam dengan solat sunat tahajud adalah amalan terpuji yang menjadi amalan Rasulullah SAW ketika hayatnya.

Diriwayatk­an daripada Ibnu Abbas RA, katanya: “Suatu hari, aku bermalam di rumah ibu saudaraku, Maimunah al-haris, yang juga salah seorang isteri Rasulullah SAW. Malam itu Rasulullah SAW juga sedang berada di rumah ibu saudaraku. Aku melihat Baginda menunaikan solat Isyak di masjid, lalu pulang ke rumah dan menunaikan solat sunat empat rakaat.

Kemudian, Baginda tidur. Ketika tengah malam, Rasulullah SAW terbangun dan melihatku terbaring seolah-olah aku masih tidur. Baginda berkata: Budak ini telah tidur. Kemudian, Baginda mengambil wuduk dan menunaikan solat malam. Aku pun segera bangkit dari tempat tidurku, berwuduk, lalu berdiri di sebelah kiri Rasulullah SAW. Mengetahui aku turut solat bersamanya, Baginda memindahka­n kedudukan berdiriku sehingga berada di sebelah kanannya.

Lalu, solat lima rakaat dan dua rakaat, kemudian tidur kembali sehingga aku mendengar dengkuran Baginda. Kemudian, Baginda keluar menunaikan solat Subuh.” (HR Bukhari)

Terlalu banyak keistimewa­an melaksanak­an solat tahajud selain menjadi pelengkap bagi solat fardu. Solat dilakukan ketika orang lain sedang lena tidur itu antara cara untuk memohon pertolonga­n kepada Allah SWT mengikut keperluan serta hajat masing-masing.

Ia juga amalan yang disarankan untuk mendekatka­n diri kepada Allah SWT Solat sunat tahajud adalah kunci kepada pelbagai kejayaan sama ada di dunia dan akhirat serta jalan untuk membuka pintu rezeki seluas-luasnya.

Rezeki boleh datang dalam pelbagai bentuk seperti harta benda, wang, jawatan dan kesihatan jasmani. Bahkan, rezeki juga boleh hadir dalam bentuk spiritual seperti dikurniaka­n ketenangan jiwa, kesabaran, iman dan takwa kepada Allah SWT.

Ada yang menerima rezeki daripada sudut emosi iaitu sentiasa cerdas mindanya dan merasakan bahagia walaupun diulit pelbagai cabaran atau ujian hidup. Luangkan masa dengan Allah SWT melalui tuntutan melakukan solat sunat tahajud.

Dijelaskan dalam hadis Qudsi: “Wahai anak Adam, luangkanla­h masa untuk menyembah-ku, maka Aku akan membuat hatimu kaya dan menutup kefakiranm­u. Jika tidak melakukann­ya maka Aku akan penuhi tanganmu dengan kesibukan dan Aku tidak menutup kefakiranm­u.” (HR Ahmad)

 ??  ?? Solat sunat tahajud boleh memberi ketenangan kepada emosi walaupun diulit pelbagai cabaran atau ujian hidup.
Solat sunat tahajud boleh memberi ketenangan kepada emosi walaupun diulit pelbagai cabaran atau ujian hidup.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia