Berita Harian

Budaya berbahasa makin terhakis

Penggunaan gelaran khas dalam kalangan ahli keluarga masyarakat Tamil, Cina kurang diamalkan

- Oleh Siti Haliza Yusop Shyusop@bh.com.my

Bangi: Amalan penggunaan gelaran khas dalam kalangan ahli keluarga bukan hanya wujud dalam masyarakat Melayu sebaliknya ia juga dikesan pada masyarakat Tamil dan Cina.

Hal itu bukan hanya melambangk­an adab atau sikap tetapi bagi sesetengah masyarakat ia adalah testimoni asuhan dan didikan ibu bapa selain ia juga dikaitkan dengan nasab keturunan.

Mantan Pensyarah Pusat Pengajian Bahasa dan Linguistik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Nackeeran Sivapunnia­m, berkata penggunaan gelaran oleh masyarakat India hari ini misalnya, boleh menjadi penunjuk sama ada penggunany­a masih berpegang kepada nilai moral dan budaya yang baik atau sebaliknya.

Dalam konteks budaya dan adat masyarakat Tamil katanya, panggilan amma secara umum digunakan untuk golongan ibu tetapi ia juga satu panggilan yang baik dan penghormat­an untuk wanita pelbagai peringkat umur.

Disebabkan itu menurut Sivapunnia­m, seorang ayah boleh memanggil anak perempuann­ya sebagai amma dan panggilan yang sama juga boleh digunakan untuk merujuk kepada bayi perempuan atau remaja perempuan.

“Mereka yang biasa menggunaka­n gelaran amma bagi merujuk kepada golongan wanita kebiasaann­ya disifatkan sebagai individu yang menerima asuhan dan mempunyai latar belakang serta nilai moral yang baik

“Ini berbeza dengan individu yang menggunaka­n gelaran dey untuk merujuk kepada lelaki dan dee untuk perempuan. Gelaran itu banyak digunakan pada era pemerintah­an kolonial bagi membezakan kedudukan tinggi rendah masyarakat pada ketika itu.

“Ia dianggap kasar dan tidak lagi diterima masyarakat India. Mereka yang masih menggunaka­n perkataan itu sehingga kini dianggap tidak menerima didikan yang baik,” katanya pada Siri Wacana Cendekiawa­n Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA): Adab dan Adat dalam Panggilan Gelaran Ahli dalam keluarga Melayu, Cina dan India, di sini.

Sesi dikendalik­an Felo Penyelidik ATMA, Prof Dr Ungku Maimunah Mohd Tahir itu turut disertai Profesor Adjung ATMA, Prof Datuk Dr Teo Kok Seong dan Felo Penyelidik Kanan ATMA, Prof Madya Datuk Dr Rosli Saludin.

Sivapunnia­m berkata, seperti masyarakat Melayu, masyarakat Tamil juga mempunyai panggilan unik untuk setiap ahli keluarga tetapi generasi hari ini lebih suka menggantik­an panggilan itu dengan istilah dalam bahasa Inggeris.

Dalam bahasa Tamil, pakcik pertama akan digelar Periappa, manakala pakcik kedua pula digelar sebagai Chitappa.

“Tetapi kini, perkataan ‘uncle’ digunakan bagi menggantik­an penggunaan Periappa atau Chitappa sedangkan istilah dalam bahasa Inggeris itu terlalu umum.

“Selain digunakan sebagai gelaran untuk abang atau adik kepada ibu atau ayah, penggunaan ‘uncle’ terlalu umum menyebabka­nnya digunakan ketika berkomunik­asi dengan mana-mana lelaki yang lebih berusia.

“Amalan ini jika diteruskan akan menyebabka­n hilangnya tradisi keluarga dalam masyarakat India yang sudah dibina sejak sekian lama,” katanya.

Sementara itu, Kok Seong berkata dalam kalangan masyarakat Cina, penggantia­n gelaran nama khas itu kurang diamalkan dan secara tidak langsung ia menghilang­kan aspirasi budaya masyarakat itu.

Tegasnya, dalam budaya masyarakat Cina, panggilan berbeza-beza itu diwujudkan untuk menunjukka­n nasab lelaki terutamany­a dari sebelah ayah adalah penting.

“Dalam hal panggilan, gelaran Ah Pek digunakan untuk merujuk abang kepada ayah, manakala adik lelaki ayah pula dipanggil Ah Chek.

“Tetapi panggilan yang sama iaitu Ah Koo akan digunakan untuk merujuk abang dan adik dari keluarga sebelah emak,” katanya.

Menurut Kok Seong, peredaran zaman sudah menggantik­an banyak hal dalam masyarakat Cina menyebabka­n adab dan adat yang dipegang dengan kuat sebelum ini tidak lagi diambil berat.

“Dahulu jika ada kematian, masyarakat Cina akan berkabung paling lama tiga tahun atau paling singkat tiga bulan.

“Hari ini, hal berkabung menjadi begitu ringkas sekali. Selesainya pengebumia­n, yang hidup akan ‘meminta’ izin si mati bahawa setakat ini saja berkabung akan dijalankan.

“Adab dan adat dalam budaya Cina penting untuk dipelihara sebagai penunjuk kepada kelakuan dan moral tetapi kini ia semakin hilang disebabkan terlalu banyak budaya Inggeris yang ditiru,” katanya.

 ??  ?? Nackeeran Sivapunnia­m
Nackeeran Sivapunnia­m
 ??  ?? Teo Kok Seong
Teo Kok Seong

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia