Berita Harian

Karya penulis wanita perlu lebih banyak dikaji

-

Kuala Lumpur: Lebih banyak usaha perlu dibuat untuk mengkaji karya penulis wanita bagi membuktika­n peranan wanita adalah sama penting dengan pengarang lelaki dalam memupuk nilai positif menerusi sastera.

Sasterawan Negara ke-14, Dr Siti Zainon Ismail, berkata Malaysia memiliki ramai penulis wanita tetapi karya mereka belum dikaji secara penuh menyeluruh.

Tegas beliau, usaha memartabat­kan karya sastera juga memerlukan kerjasama daripada pelbagai pihak dan antara lain ia boleh dimulakan dengan didikan ibu kepada anak-anak di rumah.

“Wanita khususnya ibu tidak perlu menunggu pihak sekolah atau kerajaan, mempromosi sastera dan budaya negara sebaliknya mereka perlu mengambil inisiatif bercerita mengenai karya dan sastera bersama anak-anak.

“Misalnya boleh saja ambil karya SN misalnya Datuk Dr Zurinah Hassan dan bercakap mengenainy­a dengan anak-anak kerana ia adalah warisan kita.

“Bongkar karya sastera kita kerana dengan mengetahui­nya mampu menyuntik rasa cinta terhadap khazanah ini,” katanya ditemui pada selepas menerima watikah Sasterawan Negara daripada Yang di-pertuan Agong, Al-sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-mustafa Billah Shah pada majlis Anugerah Sastera Negara ke-14, di sini.

Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandaria­h turut hadir mencemar duli.

Yang turut hadir, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik; Pengerusi, Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Prof Datuk Dr Mohamed Hatta Shaharom.

Siti Zainon berkata, bahan bacaan bersifat sastera juga seharusnya didedahkan kepada pelajar supaya rasa sayang terhadap warisan seni bangsa itu terus mekar.

“Dalam meneruskan usaha menyemarak­kan sastera, golongan pelajar pula perlu diberi peluang dan capaian lebih banyak terhadap bahan sastera sebagai rujukan.

“Ini antara usaha membudayak­an sastera dan budaya dalam kalangan anak muda. Selama ini saya merasakan pelajar kurang didedahkan dengan bahan sastera negara sedangkan merekalah yang bakal menentukan masa depan negara.

“Sastera perlukan pewaris justeru kita memerlukan generasi yang faham erti susastera. Susastera adalah sastera indah, penuh adab dan penuh akal fikiran. Semua ini untuk bangsa dan negara kita yang hargai. Tradisi seni sastera tidak bererti ia kuno kerana ada sejarah dan ilmu di sebalik setiap sastera yang boleh dikaji masyarakat,” katanya.

Tambah beliau sastera boleh terhakis andai tidak disayangi apatah lagi jika tidak dipelihara.

Siti Zainon, 69, dinobat sebagai SN ke-14, empat tahun selepas penyair Datuk Dr Zurinah Hassan menerimany­a pada 2015. Selain dikenali sebagai penyair dan novelis, Siti Zainon juga dikenali sebagai pelukis dan budayawan.

Dilahirkan di Gombak, Kuala Lumpur, beliau sudah menghasilk­an karya novel (tiga); kumpulan cerpen (10); kumpulan puisi (25); antologi cerpen (tujuh) dan antologi puisi (lima).

Beliau turut menghasilk­an 18 kajian ilmiah (buku); esei kajian dalam buku - bab (21) dan esei dalam monograf, jurnal, dokumentas­i serta majalah-katalog (21).

 ?? (Foto Aizuddin Saad /BH) ?? Siti Zainon menunjukka­n watikah Anugerah Sastera Negara ke-14 yang membawa gelaran Sasterawan Negara pada Majlis Pengurniaa­n Anugerah Sastera Negara ke-14 di Kuala Lumpur.
(Foto Aizuddin Saad /BH) Siti Zainon menunjukka­n watikah Anugerah Sastera Negara ke-14 yang membawa gelaran Sasterawan Negara pada Majlis Pengurniaa­n Anugerah Sastera Negara ke-14 di Kuala Lumpur.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia