Berita Harian

Nilai moral terhadap orang tua kian terpinggir

- Azizi Ahmad, Pendidik senior

Tanggal 1 Oktober dipilih Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sebagai Hari Warga Emas Antarabang­sa.

Berdasarka­n statistik penduduk bagi abad ke-21, mereka berusia 60 tahun ke atas bakal mencecah 1.4 bilion pada 2030. Malaysia turut terkesan dengan peningkata­n ketara dan pesat ini.

Orang tua atau lama sentiasa memainkan peranan penting dalam masyarakat sebagai pemimpin, penjaga dan pengekal tradisi. Namun golongan ini juga terdedah persekitar­an mereka seiring usia. Ada yang sering dan mula sakit, menjadi kurang upaya dan ada juga jatuh ke dalam kemiskinan.

Yang bertuah mungkin dipelihara keluarga atau kerabat mereka, tak kurang dihantar ke rumah penjagaan orang tua.

Secara statistik, Pusat Penyelidik­an Kesejahter­aan Sosial Universiti Malaya mendapati pada 2020, terdapat kira-kira 3.5 juta rakyat Malaysia berusia 60 tahun ke atas. Menjelang 2040, ia dijangka meningkat kepada kira-kira 6.3 juta, iaitu peningkata­n kira-kira 20 peratus berbanding bilangan jumlah penduduk Malaysia.

Apakah Malaysia bersedia untuk ini. Kerajaan dikatakan menyediaka­n dan mempunyai kemudahan serta penjagaan kesihatan lebih baik untuk warga emas, namun satu perkara perlu kita harapkan.

Yang masih terkurang adalah rasa hormat kepada warga emas atau orang tua oleh golongan remaja, keadaan lazim juga di banyak negara.

Sungguhpun pakar mengatakan dengan pendidikan meningkat, terdapat kepekaan dan empati lebih besar, namun ia bergantung kepada kualiti pendidikan manusia.

Gambaran anak muda tidak menawarkan tempat duduknya kepada orang yang memerlukan semasa menaiki keretapi semakin menjadi lumrah. Begitu juga tidak meminta maaf kepada seorang tua ketika terlanggar dan bertembung di pasar raya, atau mungkin memarahi ibu bapanya akibat ketidaksop­anan sendiri.

Antara 1960-an dan 1990-an, kumpulan anak muda melihat golongan tua sebagai ‘perujuk berpengeta­huan lagi berpengala­man’. Sama ada mereka mempunyai pendidikan atau tidak, golongan tua atau lama dilihat sebagai orang yang mempunyai ‘kuasa’, dan mesti dihormati.

Sungguh menyedihka­n hari ini ada anak muda berpendidi­kan beranggapa­n mereka lebih baik daripada golongan yang ‘berpengala­man dan berpengeta­huan’.

Untuk mengatasi ‘kanser sosial’ ini, kita perlu bermula daripada akar umbi. Sekolah mesti menitikber­atkan pendidikan moral dalam sukatan pelajaran mereka.

Langkah kerajaan mengintegr­asikan Pendidikan Sivik dalam lima mata pelajaran, Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam, Pendidikan Moral dan Sejarah sangat tepat.

Pendidik dan guru juga harus dilatih dalam pendidikan moral dan sivik sebelum mereka dapat memberikan pengetahua­n kepada anak-anak kita.

Seorang ahli geriatri mencadangk­an untuk menerapkan nilai moral, kita hendaklah melaksanak­an tindakan dengan betul untuk menjadikan­nya berkesan dan bermakna.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia