Berita Harian

Liverpool lupa kisah silam

Wijnaldum tekad bangkit berdepan Salzburg

-

London: Georginio Wijnaldum menegaskan Liverpool sudah bersedia membawa peminatnya mengharung­i satu lagi keterujaan dalam kancah Liga Juara-juara.

Liverpool akan meneruskan kempen di saingan elit Eropah itu, awal pagi esok dengan menanti kunjungan juara Austria, Red Bull Salzburg di Anfield dalam pertembung­an Kumpulan E.

Ia perlawanan Liga Juara-juara pertama buat skuad kendalian Jurgen Klopp di gelanggang sendiri sejak dijulang sebagai juara Eropah, Jun lalu yang mencetus suasana pesta di bandaraya Liverpool.

Begitupun bagi Wijnaldum dan rakan sepasukann­ya, kejayaan yang dilakar musim lalu itu sudah berlalu dan selepas dikalahkan Napoli pada perlawanan pembukaan, Reds kini memerlukan mata berbanding bercerita mengenai kisah silam.

“Apa yang berlaku sebelum ini sudah pun berlaku,” kata pemain tengah kebangsaan Belanda itu.

“Kami mencipta memori hebat untuk diri kami (musim lalu) tetapi ia bukan sesuatu yang kami harus sentiasa fikirkan.

“Sudah pasti ia memberikan kami keyakinan tetapi ini adalah kempen Liga Juara-juara yang baharu.

“Permainan yang berbeza, situasi yang berlainan, pasukan yang lain. Kami perlu memastikan yang kami sudah bersedia dan tidak berfikir mengenai musim lalu.

“Benar ia memori yang hebat tetapi kami perlu memandang ke depan untuk menjadikan­nya lebih hebat dan mara ke final sekali lagi. Bukan memandang ke belakang tetapi ke depan.”

Kali terakhir Liverpool beraksi di gelanggang sendiri dalam kancah Eropah cukup menakjubka­n apabila mereka menewaskan juara Sepanyol, Barcelona di peringkat separuh akhir pada Mei lalu.

Keyakinan Liverpool yang menghuni tangga teratas Liga Perdana juga meningkat dengan kehadiran semula penjaga golnya, Alisson Becker yang kembali menyertai pasukan pada minggu lalu. AGENSI

 ??  ?? Georginio Wijnaldum
Georginio Wijnaldum

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia