Berita Harian

Cheng Hoe panggil Azzizan

Ganti Azam yang cedera buku lali bertemu Sri Lanka Sabtu ini

- Oleh Syafiq Aznan syafiq.aznan@bh.com.my

Ketiadaan perancang tengah skuad kebangsaan, Nor Azam Azih susulan kecederaan buku lali menyaksika­n pengendali, Tan Cheng Hoe terpaksa mencari ‘azam’ baharu untuk aksi persahabat­an bertemu Sri Lanka, Sabtu ini.

Mengakui betapa ‘arkitek’ tengah itu memainkan peranan penting untuk menjana serangan khususnya dalam dua aksi pusingan Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 sebelum ini, Cheng Hoe bagaimanap­un tidak cemas apabila meletakkan sepenuh kepercayaa­n kepada pemain yang dipanggil kali ini.

Jelasnya, dia enggan terburu buru untuk memaksa pemain tengah Pahang itu kembali beraksi dan dia hanya mahu pemain itu pulih dan cergas sepenuhnya sebelum diturunkan untuk skuad kebangsaan.

“Setakat ini, kedudukan Azam adalah 50/50 dan dia tidak akan diturunkan untuk bertemu Sri Lanka nanti. Tetapi semua pemain yang dipanggil akan diberi peluang untuk beraksi.

“Jika ada pemain yang mengalami kecederaan, tugas jurulatih adalah untuk mencari penyelesai­an dan pilihan untuk menggantik­an pemain itu kerana kita tidak boleh bergantung sepenuhnya terhadap seseorang pemain.

“Isu kecederaan ini sememangny­a satu cabaran tetapi kita perlu berpandang­an positif. Apa yang penting, pemain yang diturunkan nanti akan memberi impak kepada pasukan,” katanya pada sesi latihan di Stadium Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Cheras, semalam.

Kecederaan Azam menyaksika­n pemain tengah Sabah, Azzizan Nordin dipanggil untuk mengisi kekosongan dan sudahpun melapor diri pada sesi latihan hari kedua, semalam.

Selain Azam, empat lagi pemain yang masih mengalami kecederaan adalah Daniel Amier Norhisham, J Parthiban, Shahrul Saad dan Abdul Halim Saari.

Mengulas lanjut kemasukan Azzizan, Cheng Hoe menjelaska­n kehadiran pemain berusia 25 tahun itu sedikit sebanyak dapat membantu mengukuhka­n jentera tengah skuad kebangsaan.

“Dia sudah bersama kita sejak tahun lalu dan menunjukan persembaha­n yang baik ketika menentang Kemboja sebelum ini.

“Sudah tentu kemasukann­ya akan memberi lebih pilihan kepada kita untuk mengisi kekosongan di bahagian tengah,” katanya.

 ??  ?? Azzizan pada sesi latihan di Stadium Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur, semalam.
Azzizan pada sesi latihan di Stadium Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia