Berita Harian

Suami isteri ditahan, disyaki dera anak sampai mati

Mangsa alami cedera pada abdomen akibat hentakan objek tumpul

- Oleh Rafidah Mat Ruzki dan Khairul Azran Hussin bhnews@bh.com.my

Shah Alam: Suami isteri ditahan polis selepas dipercayai terbabit dalam kes kematian seorang kanak-kanak berusia empat tahun yang berada bawah jagaan mereka, Ahad lalu.

Pasangan itu turut disyaki melakukan penderaan terhadap dua anak suspek wanita berusia lima dan lapan tahun dan seorang lagi kanak-kanak dijaganya yang juga kembar mangsa yang meninggal dunia.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli, berkata pada jam 1.21 tengah hari Ahad lalu, pihaknya menerima panggilan mengenai seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun meninggal dunia di rumah pengasuhny­a di Jalan Yadi, Klang, dan kematianny­a disahkan pegawai perubatan yang dihantar ke rumah berkenaan.

Beliau berkata, bedah siasat terhadap mayat kanak-kanak itu yang dijalankan pada petang Isnin, mendapati mangsa meninggal dunia selepas mengalami kecederaan pada abdomennya akibat hentakan objek tumpul.

“Terdapat beberapa kesan kecederaan baharu dan lama pada tubuh mangsa. Kedua-dua suspek, iaitu lelaki berusia 36 tahun dan wanita berusia 30 tahun itu ditahan pada jam 11 pagi tadi (kelmarin) di Klang,” katanya dalam satu kenyataan malam kelmarin.

Shamsul Amar berkata, ketika kedua-dua mereka disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, pegawai penyiasat yang memeriksa badan dua kanak-kanak lelaki serta seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun yang dibawa wanita berusia 30 tahun itu mendapati mereka mengalami kecederaan fizikal pada tubuh badan mereka, dipercayai akibat didera oleh suspek.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati dua kanak-kanak lelaki itu anak suspek wanita, hasil dua perkahwina­n terdahulu, manakala pasangan kembar perempuan adalah anak asuhan kedua-dua suspek.

“Ketiga-tiga kanak-kanak itu kini berada di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk pemeriksaa­n lanjut.

“Siasatan juga mendapati kedua-dua suspek baharu saja berkahwin di Sarawak kira-kira empat bulan lalu,” katanya.

Shamsul Amar berkata, pasangan berkenaan termasuk suspek lelaki yang juga seorang sukarelawa­n Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), direman selama tujuh hari bermula semalam untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata, pihaknya juga sedang mengesan bapa kepada pasangan kembar yang didera, manakala ibunya datang sendiri ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan petang kelmarin dengan membawa seorang kembar kepada mangsa yang meninggal.

Sementara itu, jiran suspek, Murniya Sangkono, 62, mendakwa kerap mendengar tangisan kuat kanak-kanak perempuan sejak kebelakang­an ini, namun tidak mengesyaki apa-apa.

“Sejak tiga minggu lalu, saya sering terdengar tangisan kuat kanak-kanak perempuan dan kadang-kadang tangisan ini dari pagi sampai ke malam.

“Apabila saya dapat tahu ada kanak-kanak maut didera, saya sangat sebak. Saya tidak sangka tangisan kuat yang saya dengar adalah tangisan kesakitan seorang anak kecil.

“Lebih memilukan hati, saya melihat sendiri keadaan tubuh anak ini yang penuh dengan lebam dan luka teruk di beberapa bahagian badan ketika mangsa dibawa keluar dari kediaman itu pada Ahad lalu,” katanya ketika ditemui BH di sini, semalam.

Seorang lagi jiran lelaki yang enggan mendedahka­n identitiny­a, berkata setiap kali beliau mendengar pasangan suami isteri itu mengajar, suara kanak-kanak menangis dengan kuat akan kedengaran.

“Mereka rajin mengajar ‘ABC’ dan mengaji, tetapi mereka suka marah dan tengking ketika mengajar. Saya tidak suka cara mengajar kanak-kanak macam itu, tetapi saya tidak berani menegur sikap mereka.

“Lagipun mereka jarang keluar dan bergaul dengan jiran sejak berpindah ke sini kira-kira lapan bulan lalu. Saya pun tidak pernah nampak anak mereka keluar bermain.

“Saya juga tidak pasti mereka kerja apa, cuma saya pernah nampak yang lelaki (suami) memakai uniform Angkatan Pertahanan Awam Malaysia,” katanya.

Terdapat beberapa kesan kecederaan baharu dan lama pada tubuh mangsa. Shamsul Amar Ramli, Ketua Polis Daerah Klang Selatan

 ??  ??
 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia