Berita Harian

‘Usia muda kurang sesuai jadi wakil rakyat’

-

Kuala Lumpur: Keputusan membenarka­n individu berusia 18 tahun bertanding pilihan raya bermula dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, Johor pada bulan depan, mendapat reaksi yang berbeza.

Yang menentang berpendapa­t ia tidak sesuai kerana individu pada usia berkenaan masih belum matang, manakala yang menyokong melihatnya sebagai positif dalam proses demokrasi negara serta dapat menguji kemampuan generasi muda dalam arena politik tanah air.

Bekas Pengerusi Suruhanjay­a Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman berpendapa­t calon berusia 18 tahun tidak sesuai bertanding pilihan raya kerana belum cukup matang untuk menjadi wakil rakyat.

“Pendapat peribadi saya, kalau letak calon 18 tahun dan rakyat pula pilih, saya rasa ada yang tidak kena. Saya pernah uruskan pilihan raya umum (PRU) banyak kali, saya tengok bagaimana calon bawa diri.

“Bagi saya, kalau tanya umur patut jadi calon, sekurang-kurangnya 35 tahun ke atas. Kalau usia sebegitu, saya rasa boleh jadi wakil rakyat. Kalau kurang daripada itu, saya rasa kurang sesuai," katanya pada sidang media di sini semalam.

Kelmarin, Pengerusi Suruhanjay­a Pilihan Raya (SPR), Datuk Azhar Azizan Harun dilaporkan berkata, parti politik boleh meletakkan calon berusia 18 tahun bermula PRK Tanjung Piai berikutan pindaan Perlembaga­an Persekutua­n yang sudah diwartakan.

Pada 4 September lalu, pindaan Perkara 47 (calon usia 18) dan Perkara 119 (had usia mengundi) Perlembaga­an Persekutua­n mendapat perkenan Yang di-pertuan Agong dan diwartakan pada 10 September.

Di Kuala Terengganu, Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar meminta SPR meneliti semula pindaan perlembaga­an membabitka­n kebenaran umur 18 tahun menjadi calon supaya tidak timbul masalah sekiranya calon itu menang pilihan raya.

Katanya, pilihan raya bukan tempat untuk mencari pengerusi kelab atau wakil persatuan, tetapi bagi memilih wakil rakyat yang dapat memberi perkhidmat­an dan berkomunik­asi dengan baik dengan masyarakat.

Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon, ketika dihubungi BH, berkata jika SPR membenarka­n individu berumur 18 tahun bertanding PRK Tanjung Piai, mengapa pula mereka pada usia sama tidak dibenarkan untuk mengundi.

“Ia kenyataan yang mengeliruk­an, satu dasar yang bercanggah. Kalau mahu laksanakan pengubahan had umur pada PRK kali ini, biarlah laksanakan secara menyeluruh dan turut benarkan mereka yang berumur 18 tahun mengundi,” katanya.

Sementara itu, Felo Penyelidik Undang-undang dan Perlembaga­an, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Muhammad Fathi Yusof, berkata keputusan itu dapat menguji kemampuan generasi muda untuk terbabit secara langsung dalam arena politik tanah air.

“Ia juga bagi menilai kematangan, kebolehan dan kewibaan generasi muda untuk menjadi pemimpin serta menjadi ‘wake up call’ untuk menilai tahap anak muda serta sistem pendidikan negara ini.

“Persepsi bahawa kematangan remaja pada masa ini belum layak untuk jadi wakil rakyat adalah cabaran buat generasi muda, juga cabaran untuk kita bagi menilai sistem pendidikan kita. Namun, penilaian utama berasaskan kelayakan dan kewibawaan memimpin rakyat,” katanya.

Pengurus Kanan Penyelidik­an, Institut Darul Ehsan(ide), Khairul Ariffin Mohd Munir pula berkata pada dasarnya pembabitan mereka berumur 18 tahun dalam pilihan raya adalah positif dalam proses demokrasi negara.

“Namun, proses persediaan bagi umur 18 tahun menjadi calon dan pemilih perlu dipertimba­ngkan semua pihak. Persediaan dan kematangan mereka dalam proses demokrasi harus digilap sebelum mereka diberi peluang dan ruang menjadi wakil rakyat,” katanya.

Kalau mahu laksanakan pengubahan had umur pada PRK kali ini, biarlah laksanakan secara menyeluruh. Chong Sin Woon, Setiausaha Agung MCA

Keputusan itu dapat menguji kemampuan generasi muda untuk terbabit secara langsung dalam arena politik tanah air. Muhammad Fathi Yusof, Felo Penyelidik Undang-undang dan Perlembaga­an, UTM

 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia