Berita Harian

‘Salah guna kuasa, dadah isu integriti rosak polis’

Masalah landa warga PDRM perlu dihapus, martabatka­n semula pasukan

- Oleh Nor Azizah Mokhtar bhnews@bharian.com.my

Kuala Lumpur: Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador mengakui masalah dalaman seperti rasuah, salah guna kuasa dan penagihan dadah adalah isu integriti yang membelengg­u Polis Diraja Malaysia (PDRM) sekian lama.

Katanya, PDRM perlu berani mengakui hakikat itu, dalam usaha memartabat­kan semula nama baik pasukan dan meletakkan­nya ke landasan yang betul.

“Kita mesti berani mengakui hakikat bahawa PDRM sudah sekian lama dibelenggu dengan pelbagai kesalahan sendiri.

“Rasuah, salah guna kuasa, penagihan dadah dan pelbagai lagi kesalahan yang sekian lama berlaku.

“Bukan segelintir, tetapi ramai di antara kita (warga PDRM),” katanya berucap pada Majlis Penutupan Kursus Ijazah Sarjana Sains Sosial (Pengajian Kepolisan, Diploma Siswazah Sains Kepolisan dan Diploma Eksekutif Sains Siasatan) Sesi 2017/20 di sini, semalam.

Pada majlis di Maktab PDRM itu, seramai 100 pegawai menerima sijil tamat kursus membabitka­n 92 pegawai kanan PDRM, tujuh pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan seorang pegawai Jabatan Imigresen.

Abdul Hamid turut mengingatk­an pegawai dan anggota polis agar menjauhi rasuah, kerana perbuatan itu akan menghancur­kan negara dan diri sendiri.

“Kita mesti ingat bahawa rasuah menghancur­kan tamadun bangsa dan agama.

“Sejarah beribu tahun mengajar kita bahawa penyelewen­gan dan rasuah akan menghancur­kan sebuah empayar. Mengapa kita mesti ulanginya?” katanya.

Katanya, PDRM mesti berani mengakui kesalahan supaya organisasi itu dapat memandang ke hadapan, untuk mengubah dan memperbaik­i kepincanga­n yang berlaku.

“Sekiranya kita masih lagi sombong, mementingk­an diri sendiri dan enggan mengakui kesalahan, kita tidak akan ke mana-mana.

“Slogan yang kita canang-canangkan untuk menjadikan pasukan PDRM bertaraf dunia, akan jadi omong-omong kosong sahaja,” katanya.

Selama ini, beliau berkata, PDRM melaungkan bahawa negara banyak terhutang budi kepada pasukan itu, kerana berjaya menewaskan pemberonta­kan Parti Komunis Malaya (PKM) bersama ATM.

“Kejayaan inilah yang kita momok-momokkan di mana-mana sahaja dan yang paling menyedihka­n ialah apabila sejarah kejayaan ini yang kita gunakan untuk menggertak kerajaan, supaya kita diberi layanan lebih daripada yang sepatutnya.

“Ini perbuatan yang tidak baik,” katanya sambil menambah, bagi memastikan PDRM kembali menjadi entiti keselamata­n dihormati, tiga fokus utama perlu diberi perhatian oleh pasukan berkenaan.

Tiga perkara itu, katanya, adalah meningkatk­an integriti dan akauntabil­iti, meningkatk­an tahap sistem penyampaia­n perkhidmat­an serta mendokong pelaksanaa­n Suruhanjay­a Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).

 ?? (Foto Supian Ahmad/bh) ?? Abdul Hamid bersama peserta pada Majlis Penutupan Kursus Ijazah Sarjana Sains Sosial (Pengajian Kepolisan, Diploma Siswazah Sains Kepolisan dan Diploma Eksekutif Sains Siasatan) Sesi 2017/20 di Kuala Lumpur, semalam.
(Foto Supian Ahmad/bh) Abdul Hamid bersama peserta pada Majlis Penutupan Kursus Ijazah Sarjana Sains Sosial (Pengajian Kepolisan, Diploma Siswazah Sains Kepolisan dan Diploma Eksekutif Sains Siasatan) Sesi 2017/20 di Kuala Lumpur, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia