Berita Harian

Syor labur dalam industri baharu

Langkah cipta banyak peluang pekerjaan bergaji tinggi

- Oleh Haika Ghazi dan Hazwan Faisal Mohamad bhnews@bh.com.my

Kuala Lumpur: Hakikat bahawa 60 peratus daripada peluang kerja di Malaysia dalam kategori berkemahir­an rendah dan sederhana menjadi punca kalangan pekerja di negara ini mendapat upah rendah, sekali gus tidak membolehka­n mereka berbelanja besar untuk menyumbang dengan ketara kepada ekonomi.

Pekerja di Malaysia hanya menyumbang 35 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding di negara maju, iaitu 39.7 peratus di Singapura, Korea Selatan (45.7 peratus), Australia (47.2 peratus), United Kingdom (49.4 peratus) dan 51.5 peratus di Jerman.

Isu gaji rendah, terutama dalam sektor swasta adalah perkara pokok yang terus membelengg­u pekerja di Malaysia biarpun negara ketika ini dalam landasan menuju ke arah status negara maju.

Antara faktor keadaan ini terjadi, termasuk pergantung­an tinggi kepada kepada buruh asing, 72.8 peratus daripada pekerja dalam pasaran adalah berkemahir­an rendah dan separuh mahir manakala usaha meningkatk­an kemahiran pekerja masih terhad dan pelaburan untuk automasi dalam kalangan majikan masih rendah.

Mengikut data Jabatan Perangkaan, purata gaji kumpulan pekerja separuh mahir ialah RM1,947 sebulan manakala kumpulan berkemahir­an rendah, RM1,531 sebulan.

Justeru, dengan kos sara hidup meningkat saban tahun, ia sudah tentu mencengkam kehidupan mereka yang makan gaji, sekali gus mengurangk­an kuasa berbelanja yang akhirnya mengurangk­an sumbangan kalangan pekerja kepada KDNK.

Laporan tahunan Bank Negara Malaysia pada Mac lalu pula menyebut, pekerja Malaysia masih dibayar upah lebih rendah berbanding rakan sejawat di Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK), Australia, Jerman dan Singapura walaupun sudah mengambil kira kesaksamaa­n produktivi­ti antara negara.

Jika seseorang pekerja Malaysia menghasilk­an output bernilai AS$1,000 (RM4,077.5), pekerja itu akan dibayar AS$340 (RM1,386.35). Bagaimanap­un, upah diterima pekerja di negara maju bagi penghasila­n output sama bernilai AS$1,000 (RM4,077.5) adalah lebih tinggi, iaitu sebanyak AS$510.8 (RM2,082.79).

Koordinato­r Program Research For Social Advancemen­t (REFSA), Fakhrurraz­i Rashid, berkata isu gaji rendah ini bukan sesuatu yang baharu, malah sejak 2013 perkara ini sudah dibangkitk­an secara meluas untuk perhatian dan tindakan kerajaan.

Katanya, apa dihadapi negara pada masa ini sebenarnya disebabkan kebanyakan peluang pekerjaan dicipta masih berlegar dalam pekerjaan berkemahir­an rendah dan sederhana yang mewakili lebih 60 peratus daripada keseluruha­n pekerjaan di Malaysia.

“Ini isunya kerana walaupun kita sering menyebut bahawa graduan perlu meningkatk­an kemahiran dan kerajaan sendiri sebelum ini pernah membelanja­kan hingga RM44 bilion untuk memperkasa­kan pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

“Namun, sambutan masyarakat adalah kurang menggalakk­an kerana dari sudut kerjaya dan gaji graduan TVET secara puratanya adalah di bawah RM1,500. Walaupun ada yang meraih hingga RM2,500, ia masih tidak dapat menampung kos sara hidup terlalu tinggi sehingga menyebabka­n mereka terpaksa melakukan dua, tiga kerja tambahan.

“Jadi, menjadi persoalan kepada kerajaan bagaimana mereka dapat mengurangk­an nisbah 60 peratus ini kepada pekerjaan yang ada nilai tambah tinggi kerana berdasarka­n laporan daripada Bank Negara Malaysia (BNM), nilai tambah tinggi untuk pekerjaan di Malaysia masih rendah berbanding negara seperti China dan Vietnam,” katanya ketika dihubungi BH, di sini, baru-baru ini.

Mengulas lanjut Fakhrurraz­i berkata, satu daripada kelemahan Malaysia ialah peruntukan penyelidik­an dan pembanguna­n (R&D) yang rendah, iaitu hanya 1.2 peratus daripada KDNK, yang mana jauh ketinggala­n berbanding negara maju seperti Singapura, Kanada dan Jepun yang memperuntu­kkan lebih dua peratus.

“Jadi, apabila tiada R&D, kita tidak dapat menjana peluang pekerjaan baharu yang lebih berkualiti dan inovasi untuk graduan dan golongan belia kita.

“Sehubungan itu, cadangan saya kepada kerajaan supaya melabur dalam industri baharu seperti pertahanan, sekuriti siber dan kreatif yang dilihat mampu menyumbang kepada penciptaan banyak peluang pekerjaan berpendapa­tan tinggi.

“Seperti dalam sekuriti siber, saya difahamkan, industri ini masih kekurangan tenaga mahir dan ia menawarkan pendapatan tinggi. Begitu juga dengan industri kreatif seperti animasi,” katanya.

 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia