Berita Harian

Arah sokongan pengundi Cina sukar diramal

- Penulis adalah wartawan Meja Rencana & Politik Berita Harian

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), dicatatkan 95 peratus pengundi Cina menyokong Pakatan Harapan (PH) dan aliran itu berterusan dalam beberapa Pilihan Raya Kecil (PRK) selepas itu.

Daripada lapan PRK selepas PRU-14, dua kawasan membabitka­n pengundi majoriti Cina, iaitu di Balakong dan Sandakan, masing-masing dimenangi DAP yang mewakili PH.

Bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong, dicatatkan 60.8 peratus daripada jumlah pengundi adalah kaum Cina, manakala di Parlimen Sandakan jumlah pengundi Cina ada 51 peratus.

Undi DAP di Balakong dan Sandakan meningkat hampir 85 peratus berbanding keputusan PRU-14. Analisis parti dan pusat penyelidik­an pilihan raya menyatakan kemenangan itu kerana keyakinan pengundi Cina kepada kerajaan PH.

Namun, bagi beberapa PRK lain aliran pengundi Cina dikatakan semakin merosot dan paling jelas dilihat pada PRK Cameron Highlands.

Dilaporkan jumlah pengundi di majoriti kawasan pemilih Cina adalah menurun 14.5 peratus dan ada mendakwa kemerosota­n itu disebabkan mereka tidak keluar mengundi kerana berada di luar kawasan.

Namun, sesetengah pihak seperti parti MCA yang sudah banyak kehilangan sokongan daripada masyarakat Cina, cuba menangguk di air keruh dengan mendakwa penurunan itu disebabkan kepercayaa­n pengundi semakin terhakis terhadap kerajaan.

Institut Analisa Strategi dan Kajian Polisi (INSAP) dalam satu kaji selidik di Cameron Highlands mendapati pemilih tidak berpuas hati dengan isu kenaikan harga barang.

Jika dilihat gelombang sokongan undi Cina, slogan tsunami Cina ini sudah dilaungkan DAP sejak 2008, yang mana ketika itu DAP adalah parti pembangkan­g.

DAP menyatakan kemenangan di beberapa negeri atas tiket PKR dan PAS pada pilihan raya itu juga adalah kerana sokongan undi orang Cina.

Benarkah begitu? Berdasarka­n keputusan PRU-13, Pakatan Rakyat (PR) gabungan PKR, PAS dan DAP memenangi 80 kerusi Parlimen yang mana lebih separuh daripada kerusi itu disumbangk­an oleh kawasan majoriti Cina dan kawasan campuran.

Gelombang itu berterusan pada PRU-14 dengan 95 peratus pengundi Cina memilih PH berbanding 85 peratus yang menyokong gabungan PR pada PRU-13.

Analisis UMNO pula mendapati cuma 2.4 peratus saja orang Cina yang mengundi Barisan Nasional (BN) pada PRU-14.

Bagaimana dengan sokongan orang Cina kepada PH dan BN selepas 14 bulan PH berkuasa? Berdasarka­n analisis yang dibuat beberapa pusat kajian pilihan raya, mereka mendapati sokongan kaum itu kini menurun kepada 60 peratus.

Kemuncak penurunan sokongan undi orang Cina itu jelas pada PRK Cameron Highlands apabila BN dan PAS mula menunjukka­n kerjasama politik melalui persefaham­an untuk tidak meletakkan calon di kawasan yang ditanding parti komponen BN dan PAS.

Ia menurun lagi pada PRK DUN Rantau, yang menyaksika­n kemenangan kepada calon BN, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Namun, keputusan itu bukan persoalan mengenai strategi yang digunakan BN, tetapi bagaimana undi orang Cina kepada PH ketika ini.

Penganalis­is politik dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain, menyatakan aliran pengundi Cina sebenarnya banyak dipengaruh­i faktor ekonomi kerana isu berkenaan sangat dekat dengan mereka.

“Jika kerajaan PH tidak berjaya mengurus isu ekonomi, ada kemungkina­n pengundi Cina akan beralih arah kerana masyarakat Cina banyak terbabit dalam ekonomi, perniagaan, perdaganga­n di negara ini,” katanya.

Bagi penganalis­is politik, Prof Dr Hoo Ke Ping, keputusan beberapa PRK selepas Cameron Highlands menunjukka­n pengundi Cina sudah mula menunjukka­n ketidakpua­san hati mereka terhadap prestasi kerajaan dan keadaan ekonomi setakat ini.

Ke Ping dan Mohd Izani berkongsi pandangan bahawa sokongan sebenar orang Cina kepada kerajaan boleh diketahui selepas Belanjawan 2020 dibentangk­an 11 Oktober ini yang akan diterjemah­kan pada PRK Tanjung Piai.

Pengundi Cina mengharapk­an tidak ada sebarang pengenalan cukai baharu begitu juga kenaikan kadar cukai kerana ia sudah pasti membebanka­n kelompok peniaga mahupun orang kebanyakan.

Sentimen dalam isu berkaitan berkaitan tulisan Jawi dan Sijil Peperiksaa­n Bersepadu (UEC) turut menyebabka­n sokongan orang Cina kepada PH semakin berkuranga­n.

Arah manakah sokongan pengundi Cina ini akan bergerak pada PRK Tanjung Piai? Sukar untuk diramalkan kerana kebiasaann­ya undi orang Cina ini bergantung kepada sentimen semasa atau isu yang dimainkan ketika pilihan raya, terutama jika ia berkaitan dengan kepentinga­n undi kaum itu.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia