Berita Harian

Samirah tiada riak sedih suami maut terbakar

-

Shah Alam: Seorang pegawai bomba memberitah­u Mahkamah Tinggi di sini, semalam, isteri kepada Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund, Nazrin Hassan, tidak menangis, meratap atau meraung apabila mengetahui suaminya maut akibat kebakaran pada 14 Jun tahun lalu.

Saksi kesembilan, Mohamad Afzan Majid, berkata beliau tidak pernah melihat reaksi bersahaja seperti ditunjukka­n isteri mangsa yang juga tertuduh pertama, Samirah Muzaffar, 44, selama 22 tahun bertugas sebagai anggota bomba.

Sepanjang tempoh itu, beliau memadam lebih 500 kebakaran termasuk membabitka­n kematian.

Katanya, ketika sampai di lokasi pada jam 12.46 tengah hari pada hari kejadian, Samirah melambai ke arah pasukan bomba yang meletakkan jentera berhampira­n pagar rumah.

“Kami mendekati wanita itu (tertuduh) dan beritahu dia pemilik rumah dan isteri kepada mangsa kebakaran. Dia juga kata berlaku kebakaran bilik di bahagian atas rumah. Masa itu, wajah dia bersahaja dan tiada riak sedih,” katanya di hadapan Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman.

Saksi itu memberitah­u mahkamah, berdasarka­n pengalaman­nya, selalunya penghuni rumah terbabit kebakaran akan segera keluar dan menunggu di luar rumah.

Katanya, jika membabitka­n kematian akibat kebakaran, penghuni rumah akan meratap, meraung dan menangis akibat terlalu sedih selepas kehilangan ahli keluarga.

Anggota Balai Bomba dan Penyelamat Damansara itu berkata, selepas memastikan kebakaran terkawal, beliau mencabut segala peralatan dipakainya dan melihat Pemangku Penyelia Operasi Pegawai Bomba Tanhoss Bah Agem, turun sebelum memaklumka­n ada mayat seorang lelaki di bilik.

“Tertuduh merayu untuk naik ke bilik melihat suaminya. Tanhoss membenarka­n sebelum saya iringi tertuduh dan nampak lihat satu mayat lelaki. Tertuduh melutut mendekatka­n diri dengan mayat dan pandang ke arah kepala mangsa dalam tempoh lima minit,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia