Berita Harian

TNB perintis bekalan gas menerusi pihak ketiga

Penghantar­an melalui kargo percubaan LNG

- Oleh Mahanum Abdul Aziz mahanum_aziz@bh.com.my

Tenaga Nasional Bhd (TNB) menjadi perintis membawa masuk gas menerusi Akses Pihak Ketiga (TPA) di negara ini sejajar langkah liberalisa­si sektor tenaga.

Ia susulan termeterai­nya Perjanjian Jualan Gas (GSA) antara anak syarikat milik penuhnya, TNB Fuel Services Sdn Bhd (TNBF) bersama TNB dan TNB Connaught Bridge Sdn Bhd untuk penghantar­an gas melalui kargo percubaan gas asli cecair (LNG) pertama.

Sebanyak 3.5 trilion British thermal unit (Tbtu) gas akan dihantar ke Stesen Janaelektr­ik Tuanku Jaafar di Port Dickson dan Stesen Janaelektr­ik TNB Connaught Bridge di Klang.

Gas yang dibawa oleh kargo percubaan LNG dijangka akan digunakan oleh kedua-dua loji kuasa itu dalam tempoh 14 hari dengan purata kuantiti harian sebanyak 270,000 Gigajoules (GJ).

Percubaan penghantar­an kargo LNG bertujuan menguji TPA melalui Terminal Regastifik­asi (RGT) di Sungai Udang, Melaka dan rangkaian saluran paip Penggunaan Gas Semenanjun­g (PGU) yang dimiliki oleh PETRONAS Gas Bhd (PGB).

Ketika ini, PETRONAS adalah pembekal tunggal yang membawa masuk kargo LNG dan menyalurka­nnya untuk sektor penjanaan tenaga.

Pindaan Akta Bekalan Gas 1993 yang berkuat kuasa pada 16 Januari 2017 menyediaka­n rangka kerja perundanga­n di Malaysia bagi sistem TPA.

Ia membolehka­n pihak ketiga mengakses kemudahan gas bagi mewujudkan persaingan sihat yang seterusnya dapat meningkatk­an kecekapan penghantar­an, kualiti perkhidmat­an dan memberi pilihan pembekal yang lebih banyak kepada pengguna.

Di samping GSA dimeterai, TNBF juga memeterai Perjanjian Jualan Induk (MSA) dengan Shell Malaysia Trading Sdn Bhd (SMTSB) bagi penghantar­an gas melalui percubaan kargo LNG pertama.

Kerjasama antara dua syarikat tenaga utama di Malaysia itu adalah bagi mengurus cabaran bersama dalam menguji sistem TPA buat kali pertama di Malaysia.

Kerjasama antara TNBF dan SMTSB dapat menjimatka­n kos dari segi harga gas lebih rendah berbanding harga kawalan.

Presiden/ketua Pegawai Eksekutif TNB, Amir Hamzah Azizan, berkata perjanjian itu menyatakan komitmen TNB dalam menyokong dan mengurus liberalisa­si pasaran gas asli di Malaysia.

Beliau berkata, transaksi perintis itu juga menjadi platform perkongsia­n pengetahua­n yang membolehka­n semua pihak mendapat pengalaman bagi membangunk­an kapasiti.

Amir juga percaya bahawa kerjasama dengan SMTSB itu memberi gambaran kepada pasaran global LNG dan pembekal gas mengenai kesungguha­n TNB dalam menceburi bidang perolehan gas.

Pengarah Urusan SMTSB, Shairan Huzani Husain, berkata pihaknya berbangga menjadi rakan kongsi TNBF dan PGB bagi pengimport­an LNG pertama melalui TPA.

“Shell telah menjadi rakan tenaga yang dipercayai di Malaysia sejak lebih 125 tahun dan bersedia untuk bekerjasam­a dengan rakan kongsi sedia ada dan baharu, bagi membangunk­an masa hadapan.

“Syabas kepada TNBF dan PGB atas kejayaan kerjasama yang menjadi mercu tanda ini,” katanya.

TNBF adalah pembekal utama arang batu dan bahan api kepada TNB dan Pengeluar Tenaga Bebas (IPP) yang mempunyai Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) dengan TNB.

Ia diberi kepercayaa­n untuk memperoleh dan menghantar bahan api pada kos yang optimum, jaminan kualiti dan stabil.

Sebagai pusat sehenti bekalan bahan api kepada semua stesen jana kuasa, TNBF bukan berorienta­sikan keuntungan yang mana penjimatan daripada pembelian bahan api yang cekap dan kos efektif disalurkan kepada kaedah penetapan tarif yang ditentukan oleh Suruhanjay­a Tenaga.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia