Berita Harian

Sunway REIT mula tinjau pasaran luar negara

-

Sunway Real Estate Investment Trust (Sunway REIT) meninjau pasaran luar negara dalam rancangan mempelbaga­ikan pasaran hartanahny­a.

Ketua Pegawai Eksekutif Sunway REIT Management Sdn Bhd, Datuk Jeffrey Ng, berkata ia adalah sebahagian daripada sasaran jangka pertengaha­n kumpulan menerusi inisiatif Transcend 2025 (TC25).

Sunway REIT Management adalah pengurus Sunway REIT.

Beliau berkata, kumpulan bercadang menjadi peneraju industri, dengan berada di kedudukan tiga teratas bagi pasaran REIT tempatan.

“Industri hartanah tempatan agak mencabar dan kami ingin mempelbaga­ikan, selain meningkatk­an pendapatan kumpulan dengan merancang meninjau pasaran luar negara.

“Beberapa negara kini berpotensi untuk diteroka dalam pasaran hartanah, sebagai contoh United Kingdom dan Jepun, tetapi perlu dikaji secara mendalam dari setiap perkara. Kami tidak mahu pelaburan yang dijalankan tidak mendatangk­an hasil, sekali gus tidak mampu memberi agihan seunit yang tinggi kepada pelabur.

“Selain itu, melalui TC25 juga kami menyasarka­n kumpulan dapat meningkatk­an nilai hartanah kepada RM13 bilion hingga RM15 bilion menjelang 2025, berbanding RM8.05 bilion ketika ini, melalui pelbagai strategi dirancang.

“Pulangan purata dalam tempoh lima tahun juga dijangka berada pada kadar lapan hingga 12 peratus, selain kadar pertumbuha­n kompaun tahunan agihan seunit pula pada tiga hingga lima peratus,” katanya selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Sunway REIT di Subang Jaya, semalam.

Ng berkata, kumpulan akan memperluas­kan pelaburan ke subsektor pertumbuha­n yang pesat untuk mempelbaga­ikan portfolio asetnya.

Beliau berkata, Sunway REIT juga meneroka pengambila­lihan hartanah berpotensi, pembanguna­n semula, pemulihan dan pelupusan.

“Kumpulan turut mencari peluang penggabung­an dan pengambila­lihan, selain meneroka peluang pelaburan bukan tradisiona­l.

“Pelaburan ke subsektor yang sedang berkembang juga dilihat bakal merancakka­n lagi REIT seperti memasuki pasaran e-dagang untuk penyediaan gudang dan juga logistik,” katanya.

Bagi tahun kewangan 2019, Sunway REIT mencatatka­n perolehan sebanyak RM580 juta, meningkat sebanyak 3.5 peratus berbanding tahun kewangan sebelumnya dengan pendapatan bersih hartanah sebanyak RM440 juta.

Agihan seunit Sunway REIT juga meningkat kepada 9.59 sen berbanding 9.57 sen.

 ?? (Foto Mohamad Shahril Badri Saali/bh) ?? Ng bersama Ketua Pegawai Kewangan Sunway REIT Management Sdn Bhd, Irene Sin selepas Mesyuarat Agung Tahunan Sunway REIT di Subang Jaya, semalam.
(Foto Mohamad Shahril Badri Saali/bh) Ng bersama Ketua Pegawai Kewangan Sunway REIT Management Sdn Bhd, Irene Sin selepas Mesyuarat Agung Tahunan Sunway REIT di Subang Jaya, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia