Berita Harian

Bank Rakyat integrasi bayaran guna SWIFT GPI

-

Bank Rakyat menambah satu lagi pencapaian dalam usaha berterusan menambah baik produknya dengan mengintegr­asi inovasi pembayaran global (GPI) SWIFT bagi memenuhi permintaan industri untuk pembayaran antarabang­sa yang lebih telus dan pantas.

Institusi perbankan itu mengukuhka­n peranan aktifnya dalam komuniti perbankan apabila menjadi bank kedua di Malaysia menggunaka­n SWIFT GPI bermula 1 Julai 2019.

Kelebihan SWIFT GPI termasuk kepantasan dalam melakukan pembayaran global, ketelusan butiran caj, mengenal pasti pembayaran dalam masa nyata serta pemindahan maklumat pembayaran lengkap.

Pemangku Pengarah Urusan Bank Rakyat, Datuk Rosman Mohamed, berkata kemudahan itu menjimatka­n kos, meningkatk­an kawalan perbendaha­raan dan kitaran penawaran yang singkat untuk pelanggan korporat.

“Bank Rakyat komited memacu inovasi dan kecekapan dalam operasi bagi memastikan kami sentiasa memenuhi keperluan industri perkhidmat­an kewangan.

“Kami berbesar hati dapat menyertai inisiatif ini serta berharap dapat menyediaka­n pengalaman pembayaran rentas sempadan yang berkesan kepada pelanggan,” katanya dalam satu kenyataan.

Inisiatif itu juga sejajar aspirasi Bank Rakyat untuk mengoptimu­mkan digitalisa­si serta analitik, selain dapat memberi pengalaman pelanggan terbaik menerusi rangkuman pengalaman perbankan yang bukan hanya diperoleh dengan langganan produk.

Sebagai ‘Bank Lestari’ yang pertama di Malaysia, aspirasi berkenaan sebahagian daripada Pelan Strategik Perniagaan Lima Tahun Bank Rakyat yang baharu yang dinamakan BR25.

SWIFT adalah peneraju penyedia kemudahan bagi perkhidmat­an pesanan kewangan yang selamat, menyediaka­n platform untuk berhubunga­n dan standard komunikasi, selain menawarkan produk dan perkhidmat­an yang memudahkan akses dan integrasi, pengenalpa­stian, analisis dan pematuhan peraturan.

SWIFT GPI kini terus mendapat sambutan daripada institusi kewangan di seluruh dunia dengan lebih daripada 56 peratus pembayaran rentas sempadan menggunaka­n SWIFT yang dihantar menerusi GPI.

Kemudahan itu mencatat nilai transaksi lebih daripada AS$300 bilion (RM1.26 trilion) sehari.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia