Berita Harian

12 individu dipanggil semula jika perlu

-

Kuala Lumpur: Polis akan memanggil semula 12 individu yang pernah ditahan berhubung kes kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, jika ada keterangan baharu pembabitan mereka dalam kes itu.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mior Faridalath­rash Wahid, berkata sejak kejadian itu dilaporkan pada November tahun lalu, polis menahan 12 individu berkenaan.

Katanya, bagaimanap­un tiada keterangan jelas diperoleh pihaknya untuk mengaitkan semua individu berkenaan dengan kes kematian Muhammad Adib dalam kejadian rusuhan di Sri Maha Mariammam, USJ 25, Subang Jaya, itu.

“Mereka yang kita tahan sebelum ini sudah dibebaskan dengan jaminan polis, namun jika ada keterangan baharu yang menyokong (pembabitan), kita akan panggil mereka semula,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung persoalan ahli politik pembangkan­g sama ada empat individu yang sebelum ini ditahan berkaitan kematian Muhammad Adib masih berada di dalam negara atau sebaliknya.

Mior Faridalath­rash Wahid, berkata pihaknya tidak pernah menghentik­an siasatan terhadap kes berkenaan yang dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, polis tidak nampak isu individu terbabit mahu melarikan diri ke luar negara kerana siasatan sudah pun dijalankan terhadap mereka.

“Bagaimanap­un, siasatan berkenaan menunjukka­n bahawa tiada keterangan jelas mengaitkan 12 individu ini dengan kejadian yang berlaku pada hari berkenaan (insiden rusuhan).

“Justeru, tiada isu mereka mahu lari ke luar negara atau sebagainya, namun siasatan tetap diteruskan seperti yang sudah diputuskan Mahkamah Koroner yang mengatakan dua orang atau lebih terbabit dalam kejadian berkenaan,” katanya.

Jumaat lalu, Koroner Rofiah Mohamad, memutuskan punca kematian Muhammad Adib, adalah akibat perbuatan jenayah oleh dua atau lebih individu yang tidak dikenali.

Muhammad Adib menghembus­kan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada 17 Disember tahun lalu, selepas 21 hari bertarung nyawa susulan kejadian rusuhan di hadapan kuil Sri Maha Mariammam, USJ 25, Subang Jaya.

 ??  ?? Mior Faridalatr­ash Wahid
Mior Faridalatr­ash Wahid

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia