Berita Harian

Tanggung kos kerosakan RM350,000 akibat ribut

DBKL ganti atap lebih kukuh elak kejadian sama berulang

- Oleh Zaharah Anum Mohd Tuah bhnews@bh.com.my

Kuala Lumpur: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersedia menanggung kos dianggarka­n RM350,000 bagi membaik pulih kerosakan menimpa Blok D Perumahan Awam (PA) Desa Rejang akibat ribut, kelmarin.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan, berkata kejadian itu mengakibat­kan sebahagian atap di perumahan awam terbabit menghempap lima kenderaan.

Bagaimanap­un, beliau berkata, DBKL tidak menanggung kerosakan kenderaan disebabkan ribut berkenaan.

“Setakat ini, laporan mendapati bumbung tingkat 19 Blok D tercabut, dua unit rumah mengalami peresapan air, lima kenderaan rosak dan compressor (pemampat) pendingin hawa jatuh.

“Kami akan menanggung kos pembaikan atap yang lebih kukuh supaya perkara ini tidak berulang,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Nor Hisham berkata, DBKL turut mendapatka­n maklumat lanjut daripada Persatuan Penduduk PA Desa Rejang untuk mengetahui kerosakan dialami unit kediaman lain.

Bagaimanap­un, beliau berkata, pusat pemindahan sementara tidak dibuka berikutan tiada individu dilaporkan cedera dalam kejadian terbabit.

“Kami bersedia menanggung kos membaik pulih rumah rakyat yang lain di Kuala Lumpur jika ada.

“Kami akan mengambil tindakan serta-merta membaik pulih kerosakan ini dan pencegahan awal bagi memastikan perumahan rakyat lain di sekitar Kuala Lumpur tidak terjejas disebabkan peralihan angin monsun yang sedang berlaku,” katanya.

Sementara itu, penduduk, A Vallimalar, 41, memaklumka­n kejadian akibat ribut kelmarin adalah yang pertama dialaminya sejak 11 tahun tinggal di situ.

“Ketika kejadian, saya sedang berehat di dalam rumah sebelum terdengar bunyi bumbung dan cermin tingkap dari tingkat atas jatuh.

“Saya kemudian nampak angin seolah-olah berpusar ke arah blok menyebabka­n kediaman saya dimasuki air,” katanya.

 ?? (FOTO MUHD ZAABA ZAKERIA/BH) ?? Nor Hisham (dua dari kanan) meninjau kerosakan yang berlaku di PA Desa Rejang, Setapak akibat ribut, semalam.
(FOTO MUHD ZAABA ZAKERIA/BH) Nor Hisham (dua dari kanan) meninjau kerosakan yang berlaku di PA Desa Rejang, Setapak akibat ribut, semalam.
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia