Berita Harian

Ida Riswana tonggak kejayaan Andalusia

Gigih rujuk ‘Yellow Pages’ hubungi pelanggan promosi perniagaan

- Oleh Haryani Ngah aryani@bh.com.my

Kuala Lumpur: Syarikat pelanconga­n, Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd menjadi antara pilihan umat Islam di negara ini yang ingin menunaikan ibadah umrah.

Kecemerlan­gan syarikat ini bermula sejak 2002 dan tahun ini, Andalusia memenangi Anugerah Persatuan Ejen-ejen Pelanconga­n dan Pengembara­an Malaysia (MATTA) bagi kategori Agensi Pelanconga­n Terbaik Umrah dan Haji.

Kejayaan dan kepercayaa­n diperoleh hasil kerja keras Pengarah dan Penasihat Undang-undangnya, Ida Riswana Idris serta suaminya, Ibrahim Mat Sin yang menjawat jawatan Pengarah Urusan dan Pengerusi Eksekutif, Datuk Md Daud Che Ngah.

Ida Riswana berkata, syarikat pelanconga­n itu ditubuhkan oleh dua wanita pada 1980-an, tetapi tidak aktif.

“Pada 2001 sebuah syarikat Singapura mahu saya menjadi peguam serta proksinya, bagi mengambil alih syarikat Andalusia untuk dibuat portal.

“Apabila tiba hari untuk menandatan­gani pengambila­lihan syarikat, berlaku tragedi 11 September.

“Akibatnya syarikat dari Singapura itu mengambil keputusan menarik diri.

“Saya dan suami membeli syarikat ini dan memulakan operasi pada penghujung 2002.

“Pengalaman mengerjaka­n umrah pada 1999 dan 2000 menimbulka­n minat saya membuka agensi pelanconga­n,” katanya.

Ida Riswana percaya, mampu memberikan perkhidmat­an baik manakala pengalaman mengerjaka­n umrah dijadikan panduan.

Pada permulaan pengambila­lihan syarikat itu, Ida Riswana belum mengenali Md Daud atau lebih dikenali, Ustaz Daud yang dikenali ramai dan berpengala­man luas dalam bidang haji serta umrah.

Beliau dan suami bernasib baik apabila sepupu Ustaz Daud memperkena­lkannya dan terus menjemput menjadi rakan kongsi.

Selain itu, ada lagi tiga lagi rakan kongsi yang kemudianny­a menarik diri kerana pada enam bulan pertama perniagaan tidak memberangs­angkan.

“Masa mula-mula beroperasi, mana ada orang kenal kami. Ketika itu Yellow Pages masih digunakan untuk mencari nombor telefon.

“Jadi saya cari nama Melayu, hubungi mereka dan bertanya adakah berminat pergi umrah?

“Ketika itu pakej umrah hanya RM3,000 lebih. Selepas enam bulan baru dapat pelanggan sedikit demi sedikit, iaitu dalam kalangan keluarga, saudara mara dan kawan,” katanya.

Beliau berani membeli syarikat pelanconga­n itu kerana Andalusia mempunyai lesen penuh dalam inbound, outbound dan penjualan tiket.

Untuk membeli syarikat itu, beliau sanggup menjual dua bidang tanah yang dianggap satu pertaruhan.

“Ustaz Daud adalah wajah kepada Andalusia dan peranannya memberi bimbingan umrah. Bagi urusan perniagaan dan pentadbira­n, saya serta suami uruskan,” katanya.

Katanya, cabaran kali pertama mengerjaka­n umrah ketika Ramadan, penerbanga­n tertunda. Apabila masuk waktu berbuka, tiada makanan disediakan menyebabka­n kesukaran kepada jemaah.

Cabaran kedua apabila membayar kos agak mahal, tetapi perlu menginap di hotel jauh dari Masjidil Haram.

Berdasarka­n pengalaman itu, beliau mendapati tiga perkara perlu diutamakan, iaitu makanan, perkhidmat­an dan ceramah bimbingan umrah.

Pada peringkat awal katanya, ceramah bimbingan umrah dilakukan di masjid tetapi kesukaran mendapat lokasi menyebabka­n ceramah mingguan diadakan di pejabat Andalusia.

“Ia diadakan secara percuma dan terbuka kepada sesiapa saja,” katanya.

Menurutnya, cabaran tetap ada seperti undang-undang dari Arab Saudi yang sentiasa berubah-ubah dan secara tiba-tiba.

“Antaranya apabila Arab Saudi secara tiba-tiba membuat syarat mengenakan caj RM2,000 kepada jemaah dan sebagai ejen ia menyukarka­n kami untuk memaklumka­n kepada bakal jemaah,” katanya yang menganggap kewujudan banyak syarikat pelanconga­n yang menawarkan pakej umrah sebagai persaingan sihat.

“Umrah ibadah tidak akan terhenti. Data tahun lalu menunjukka­n kira-kira 270,000 rakyat Malaysia mengerjaka­n ibadah itu.

“Jumlah itu hanya satu peratus daripada penduduk Islam di Malaysia. Banyak syarikat menawarkan pakej umrah, sekali gus makin ramai berpeluang mengerjaka­nnya,” katanya.

Sementara itu, maklum balas diterima mendapati pelanggan berpuas hati dengan perkhidmat­an Andalusia dan akan terus memilih syarikat ini untuk membeli pakej percutian ke negara terpilih.

 ?? (Foto Zulfadhli Zulkifli/bh) ?? Ida Riswana berbincang bersama kakitangan­nya di Wisma Andalusia, Kuala Lumpur.
(Foto Zulfadhli Zulkifli/bh) Ida Riswana berbincang bersama kakitangan­nya di Wisma Andalusia, Kuala Lumpur.
 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia