Berita Harian

Spurs aib di laman sendiri

Gnabry ledak 4 gol pastikan Bayern Munich menang jaringan 7-2

-

London: Serge Gnabry meledak empat gol pada babak kedua ketika Bayern Munich mengaibkan Tottenham 7-2 dalam kempen Liga Juara-juara di Stadium Tottenham Hotspur, semalam.

Ia sekali gus menjadi kekalahan dengan margin terbesar yang dialami kelab Inggeris di gelanggang sendiri dalam mana-mana saingan elit Eropah.

Juara Bundesliga itu begitupun terlebih dulu dibolosi menerusi jaringan Son Heung-min sebelum bangkit melakar kejutan pada perlawanan yang berlangsun­g dalam hujan.

Penyerang England, Harry Kane memberikan peminat tuan rumah sedikit harapan apabila mengurangk­an defisit 2-4 pada satu ketika menerusi penalti tetapi ia tidak berjaya menghalang juara Eropah lima kali itu daripada terus mengganas.

“Ia petang yang hebat untuk Bayern Munich dan juga bola sepak Jerman,” kata pengurus Bayern, Niko Kovac.

“Saya merasa kasihan kepada rakan sejawat saya (Bos Spurs, Mauricio Pochettino),” katanya sambil melabel Gnabry sebagai ‘menakjubka­n’ serta persembaha­n hebat Manuel Neuer menjaga gawang Bayern.

Selain Joshua Kimmich yang menyamakan kedudukan buat Bayern pada minit ke-15, penyerang Poland, Robert Lewandowsk­i turut menyumbat dua gol pada minit ke-45 dan 87 dengan Gnabry paling mencuri tumpuan dengan jaringan pada minit ke-53, 55, 83 dan 88.

Spurs yang mara ke final Liga Juara-juara pada Jun lalu sebelum tewas kepada Liverpool mengharung­i permulaan terumbang-ambing musim ini apabila hanya mengutip satu mata daripada tiga perlawanan terakhir di liga tempatan.

Kekalahan memberikan tugasan sukar buat Pochettino untuk meningkatk­an kembali moral pemainnya selepas dipalit kekalahan memalukan di gelanggang sendiri.

“Apa yang penting adalah kekal bertenang, tidak terburu-buru membuat analisa, tidak tergesa-gesa membuat pertimbang­an dan melakukan penilaian,” kata Pochettino yang memuji penyudah klinikal Bayern yang melakukan 11 cubaan tepat ke gawang. AFP

 ?? (Foto AFP) ?? Gnabry meraikan jaringan ketiganya pada perlawanan Liga Juara-juara menentang Tottenham Hotspur, kelmarin
(Foto AFP) Gnabry meraikan jaringan ketiganya pada perlawanan Liga Juara-juara menentang Tottenham Hotspur, kelmarin

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia